1. Kuala Lumpur baharu sahaja selesai menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketiga Penasihat Sains Negara Asia Pacific Economic Cooperation (APEC). Lebih 15 negara turut bersama dalam mesyuarat ini termasuk Amerika Syarikat, Russia dan China.
2. Tahniah dan syabas kepada Tan Sri Zakri Abd Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia yang menjadi pengerusi bersama dan berjaya mengendalikan mesyuarat dengan cemerlang.
3. Saya mewakili Pusat Kajian Bencana Alam Asia Tenggara (SEADPRI), UKM, bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk bersama menjadi perwakilan negara dalam mesyuarat peringkat tertinggi penting ini.
4. Mesyuarat kali ini memberikan tumpuan kepada dua isu utama dunia yang memerlukan sokongan penasihatan Sains untuk bergerak ke hadapan iaitu dalam isu Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dan pemerperkasaan Pengetahuan Watan (Indigenous Knowledge).
5. Perbincangan dan perkongsian pandangan sangat terbuka dan menyegarkan kerana tumpuan bukan sahaja kepada kepentingan fakta Sains, sebaliknya berkaitan dengan diplomasi Sains dan gagasan Sains untuk Tindakan.
6. Ketika menyampaikan pandangan Malaysia mengenai pengurangan risiko bencana, saya telah membentangkan kertas mengenai perkara yang telah kita pelajari daripada peristiwa Banjir Besar 2014 dan Gempabumi Kinabalu 2015.
7. Kedua-dua kes ini menarik perhatian ramai kerana ia dianggap bencana alam luar biasa di Malaysia, serta masih banyak komponen Sains yang perlu dipelajari dan diterjemahkan untuk faedah masyarakat.
8. Bencana Banjir Besar 2014 merupakan fenomena bencana banjir paling serius pernah berlaku di Lembangan Sungai Kelantan. Banjir ini telah mengubah persepsi masyarakat iaitu ia bukan lagi peristiwa atau pesta, tetapi bencana alam yang mengerunkan.
9. Lazimnya banjir hanya mencapai 1-2 meter di atas dataran limpah, kini ketinggian air banjir mencapai 10 meter. Negeri Kelantan seakan lumpuh, beberapa bandar dan ratusan pekan dan kampung ditenggelami air bah. Seramai 25 nyawa terkorban, lebih 500,000 penduduk terjejas, dan kerosakan harta awam berjumlah hampir RM3,000,000,000.
10. Berdasarkan kajian forensik selepas berlakunya bencana banjir, terdapat banyak kekurangan dasar dan tindakan negara ketika berhadapan dengan bencana alam, khususnya banjir. Antaranya ialah negara masih belum mempunyai Akta Bencana Alam yang boleh menjadi panduan kepada semua perancangan dan tindakan yang diperlukan.
11. Keperluan lain meliputi ketiadaan agensi teknikal dan saintifik bersepadu yang dapat memandu pelan pengurangan risiko bencana secara bermaklum, serta keperluan menyediakan peta risiko bencana banjir berskala lembangan.
12. Kes Gempabumi bermagnitud 6.0 pada 7.15 pagi, 5 Jun 2015 yang menggegarkan Gunung Kinabalu adalah bencana alam luar dugaan. Walaupun Sabah telah mengalami beberapa peristiwa berskala sederhana, ini pertama kali gempabumi menyebabkan kematian di Malaysia.
13. Epipusat berhampiran Gunung Kinabalu telah menyebabkan gegaran kuat pada keseluruhan batholit granit yang membentuk gunung batuan bercerun curam. Akibatnya, berlaku Jatuhan Batuan secara meluas dengan anggaran runtuhan melebihi 10,000,000 meter padu.
14. Runtuhan cerun batuan di Puncak Tunku Abdul Rahman adalah punca menyebabkan 18 orang pendaki gunung terkorban.
15. Pada 13 Jun 2013, berikutan hujan berterusan selama dua hari, debris (bongkah batuan, kerikil, pasir dan lumpur, serta kayu kayan) hasil Jatuhan Batuan yang terkumpul di kaki gunung, bahagian hulu sungai telah diangkut ke hilir oleh proses dikenali Aliran atau Banjir Debris.
16. Fenomena Aliran Debris sepanjang Sungai Liwagu dan Sungai Kedamaian telah menyebabkan beberapa prasarana utama merentasi sungai musnah. Fenomena Jatuhan Batuan dan Aliran Deberis adalah potensi bencana cetusan gempabumi yang sangat berbahaya dan bukannya gegaran oleh gempa itu sendiri.
17. Pembentangan kertas mengenai pengetahuan watan oleh peserta Republik China, khususnya berkaitan Perubatan Tradisional China telah menarik perkatian semua peserta. Kita telah biasa dengan pendekatan Perubatan Barat yang berkembang berasaskan penyelidikan dan dapatan Sains.
18. Pendekatan perubatan tradisional China adalah berasaskan keseimbangan berpandukan falsafah ‘yin dan yang’ dan pemerhatian mengenai penyakit diasaskan kepada ‘corak ketakharmonian’.
19. Mungkin sukar untuk membuktikan keberkesanannya berasaskan pembuktian Sains, tetapi lebih 80% masyarakat China percaya dan sedang mengamalkan perubatan tradisional ini!
20. Mesyuarat antara Penasihat Sains Negara di Asia Pasifik bukan untuk mengupas keperluan untuk meneroka pengetahuan Sains baharu, tetapi mencari jalan bagaimana pengetahuan Sains boleh dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat.
21. Kelihatannya, ahli Sains masih berkomunikasi sesama mereka, dan tidak banyak pengetahuan yang terlimpah untuk faedah kepimpinan dan komuniti. Masih banyak keputusan penting kerajaan untuk kesejahteraan masyarakat di buat tanpa menggunakan pengetahuan dan kefahaman Sains. Akibatnya keberkesanan perlaksanaan menjadi terlalu rendah, dan ada kalanya projek gagal.
22. Dalam ekosistem Akademik, ahli Sains digalakkan memindahkan ilmu kepada masyarakat. Di sekitaran Universiti, tuntutan ini diperkenalkan sebagai peranan ketiga, selepas pengajaran dan penyelidikan.
23. Dalam mesyuarat antara Penasihat Sains Negara, gagasan ini dilihat daripada perspektif Diplomasi Sains dan Sains untuk Tindakan (Science for Action). Hakikatnya, usaha murni ini masih sangat terbatas dan masih belum diberikan perhatian sewajarnya.
IBK: 4 November 2015