Aliran Debris Bentong 2015

Genting Sempah @TheStar

1. Peristiwa Aliran Debris atau aliran puing di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak pada petang 11 November 2015 telah sekali lagi mengejutkan masyarakat mengenai risiko bencana di sepanjang lebuhraya, khususnya ancaman fenomena tanah runtuh.

2. Walaupun beberapa buah kenderaan dihanyutkan oleh aliran debris dan lebuhraya terpaksa ditutup beberapa hari, keresahan daripada kalangan pengguna lebuhraya mengenai tahap keselamatan tetap tinggi. Mujurlah tiada kehilangan nyawa.

3. Aliran debris sepanjang alur sungai dari ketinggian lebih 500m sehingga ke lebuhraya pada paras ketinggian 150m bergerak secara graviti lebih satu kilometer sebelum mendamparkan bahan debris di permukaan lebuhraya.

4. Ramai yang mentafsirkan sebagai ‘banjir lumpur’ kerana melihat kandungan lumpur dan air yang banyak mengalir turun dari puncak bukit.

5. Aliran debris adalah sejenis tanah tanah khas yang sering berlaku di lembah sempit di kawasan perbukitan dan pergunungan. Ketika hujan lebat, beberapa siri gelinciran tanah berlaku di hulu sungai, tanah runtuh ini bergerak dengan pantas sepanjang alur dan berupaya menghakis kiri dan kanan tebing dan membawa debris dengan banyaknya.

6. Akibat hakisan, bongkah batuan, pasir, tanah, pokok dan kayu kayan di sepanjang alur di angkut oleh daya graviti ke bawah bukit. Lebih panjang alirannya, lebih banyak debris di angkut dan dimuntahkan di kawasan landai iaitu permukaan lebuhraya.

7. Malaysia telah beberapa kali berhadapan dengan tragedi aliran debris. Peristiwa yang paling menyayat hati berlaku di jalan susur ke Genting Sempah pada 30 Jun 1995. Ketika hujan lebat, berpuluh kereta di jalan tersebut terperangkap oleh kesesakan lalu lintas.

8. Pada saat itu, aliran debris turun dari sebuah anak sungai, merempuh dan menghanyutkan sebahagian daripada kenderaan tersebut sejauh lebih 50m. Peristiwa ini telah meragut 21 nyawa dan mencederakan 23 yang lain.

9. Tragedi Pos Dipang, Perak pada 29 Ogos 1996 juga berpunca daripada proses aliran debris. Ketika itu saya sempat membuat penyiasatan sehingga di hulu Sungai Dipang. Apa yang berlaku ialah kejadian beberapa gelinciran tanah di hulu sungai ketika hujan lebat.

10. Ini diikuti oleh kejadian hakisan tebing sungai sepanjang hampir 2 km. Debris terdiri daripada kayu kayan bongkah bongkah batuan hasil hakisan membentuk empangan semantara menyebabkan paras sungai naik mendadak.

11. Dengan sekita, empangan sementara itu pecah dan memusnahkan kampung orang asli yang berada beberapa ratus meter di hilir empangan. Aliran debris menjadi banjir debris dan mengorbankan 39 nyawa serta 5 yang lain hilang.

12. Fenomena gempabumi bermagnitud 6.0 pada 5 Jun 2015 di Gunung Kinabalu juga mencetus peristiwa aliran debris. Gegaran telah menyebabkan batuan dan tumbuh-tumbuhan runtuh. Pada 13 Jun, ketika hujan lebat berlaku, tumbuhan dan bongkah batuan yang runtuh di hulu Sungai Mersilau membentuk aliran debris di Sungai Liwagu, mengalir dan memusnahkan pembinaan sepanjang sungai serta melebarkan lurah sungai.

13. Komuniti di sini bernasib baik, kayu kayan ini tersangkut di empangan bekalan air berhampiran pekan Ranau mampu memberhentikan kuasa pemusnah aliran debris ini.

14. Sejak runtuhan Highland Tower akibat tanah runtuh pada 11 Disember 1993 yang mengakibatkan 48 kematian, kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk mengurangkan risiko bencana tanah runtuh.

15. Beberapa dasar dan garis panduan pembinaan diperkenalkan, Bahagian Cerun Jabatan Kerja Raya diberikan mandat untuk melaksanakan kerja pemantauan dan baikpulih cerun berisiko tinggi, serta berbilion ringgit dana diperuntukkan bagi memastikan keselamatan awam akibat bencana tanah runtuh ditingkatkan.

16. Kejadian aliran debris di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak mengingatkan kembali kepada kita, risiko bencana tanah runtuh masih tinggi dan perlu diberikan perhatian serius. Kerajaan dan masyarakat tidak boleh mengambil jalan mudah apabila membuat pembinaan di kawasan perbukitan, khususnya ancaman bencana tanah runtuh.

17. Kita telah mencapai kemajuan apabila berhadapan dengan risiko gelinciran tanah di kawasan potongan cerun, tetapi masih mempunyai pengetahuan terbatas terhadap fenomena aliran debris.

18. Di Malaysia kejadian aliran debris merupakan bencana tanah runtuh paling bahaya dan paling sukar diramal. Dalam beberapa dekad ini, ia telah mengorbankan ratusan nyawa dan memusnahkan harta benda awam yang banyak.

19. Dengan fenomena Perubahan Iklim, cuaca menjadi semakin ekstrem, kejadian aliran lumpur di masa hadapan akan terus meningkat. Kerajaan perlu mengambil tindakan secara holistik dan bersistem mulai sekarang jika berhasrat mengurangkan risiko bencana ini di masa hadapan.

20. Saya perhatikan pengetahuan pembuat dan pelaksana dasar mengenai fenomena aliran debris masih sangat terbatas. Ada yang beranggapan, ia adalah fenomena ‘banjir lumpur’, sesuatu yang di luar kawalan manusia.

21. Di Jepun umpamanya, fenomena aliran debris sangat lumrah dan mengancam banyak kampung dan pekan di muara anak sungai. Mereka telah berjaya membangunkan teknologi Empangan Sabo untuk menghalang dan meminimumkan risikonya. Marilah kita bersama belajar daripada negara yang mengutamakan keselamatan awam ini.

IBK: 15 November 2015

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s