
1. Sabah sekali lagi dikejutkan dengan ramalan gempabumi berskala kuat apabila beberapa gempabumi lemah berlaku di daerah Lahat Datu awal tahun ini. Katanya, ‘itu petanda gempabumi kuat akan berlaku’.
2. Seluruh masyarakat Sabah berada dalam kerisauan, lebih-lebih lagi apabila mengingatkan impak bencana gempabumi di Ranau pertengahan tahun 2015. Gegaran ketika itu menyebabkan batuan di puncak Gunung Kinabalu runtuh dan mengorbankan 18 pendaki gunung.
3. Lebih 500,000 gempabumi berlaku di seluruh permukaan Bumi setiap tahun, kebanyakan berkeamatan rendah dan hanya dapat dikesan oleh alat seismograf.
4. Oleh kerana permukaan Bumi bersifat dinamik, dan kepingan bumi sentiasa bergarak dengan kadar sangat perlahan (mm hingga cm per tahun), patahan berlaku dan tenaga dibebaskan dalam bentuk gempabumi.
5. Tiada siapa dapat meramal dengan tepat bila, besaran magnitud dan di mana gempabumi akan datang berlaku!
6. Begitupun, maklumat sains yang terkumpul sejak ratusan tahun lamanya dapat memberikan tafsiran yang baik mengenai fenomena gempabumi di masa akan datang. Salah satu teori geologi terkenal, ‘peristiwa lepas adalah kunci masa kini’ telah menjadi asas tafsiran bencana gempabumi di masa akan datang.
7. Lebih banyak maklumat peristiwa lampau dikumpul, lebih baik tafsiran ahli geologi mengenai peristiwa alam masa depan.
8. Di peringkat global, agensi Penyiasatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) telah mengumpul rekod gempabumi sejak beberapa ratus tahun lampau. Rangkaian pengukuran yang tepat tersedia dan maklumat mengenai gempabumi dapat disebarkan ke seluruh pelusuk dunia dalam masa beberapa saat sahaja.
9. Dalam konteks bencana alam gempabumi, sistem rangkaian maklumat gempabumi adalah pencapaian teknologi manusia tercanggih yang membanggakan.
10. Pada prinsipnya, daripada perspektif bencana gempabumi, kita boleh bagikan permukaan bumi kepada 4 zon bencana gempabumi: sangat kuat (bermagnitud lebih 8), kuat (M = 6 – 8), sederhana (M = 4 – 6) dan lemah (bermagnitud kurang 4).
11. Jika kita tafsirkan maksud setiap kategori ini daripada perspektif umum, sangat kuat ialah gempabumi pemusnah besar dan kesannya dirasai di peringkat rantau.
12. Gempabumi bermagnitud kuat boleh memusnahkan sebuah bandar dan impaknya dirasai hingga ratusan kilometer sekitar epipusat. Gempabumi bermagnitud sederhana memusnah bangunan di kawasan setempat dan sekitar beberapa kilometer dari epipusat.
13. Gempabumi bermagnitud lemah lazimnya tidak menyebabkan kerosakan selain manusia merasai gegarannya.
14. Di rantau Asia Tenggara, gempabumi sangat kuat pernah berlaku di lingkaran api (zon subduksi) di bahagian barat Sumatera dan selatan kepulauan Jawa. Gempabumi kuat pula sering berlaku di pulau Sumatera, kepulauan Jawa, Sulawesi dan kepulauan Filipina.
15. Di Sabah, terutamanya di Ranau, Tawau dan Lahat Datu, rekod menunjukkan kita mengalami gempabumi bermagnitud sederhana, sementara seluruh Semenanjung Malaysia hanya merasai gempabumi lemah.
16. Jika saya boleh jelaskan secara fizikal, pada zon gempabumi sangat kuat, kepingan kerak bumi sepanjang ribuan kilometer mengalami patahan dan anjakan besar. Gempabumi seperti ini lazimnya menghasilkan tsunami.
17. Gempabumi kuat lazimnya berlaku apabila terjadi anjakan beberapa meter sepanjang sesar aktif. Gempabumi sederhana berlaku melibatkan anjakan kecil sesar aktif. Sementara gempabumi rendah berlaku pada titik penyusunan semula (readjustment) sesar tidak aktif.
18. Saya merasakan penting maklumat ini disampaikan kepada masyarakat awam dan para pembuat dasar negara.
19. Kefahaman yang kurang tepat hanya akan menyebabkan setiap kali berlaku gempabumi bermagnitud rendah, masyarakat merasa terancam dengan bahaya gempabumi, dan agensi pembuat dasar pula mengambil tindakan melampaui batas atau berbelanja dengan kos tinggi.
20. Kecuali di Sabah, Malaysia pada umumnya bebas dari bahaya gempabumi. Bangunan tinggi di pantai barat Semenanjung Malaysia akan mengalami gegaran dari masa ke semasa akibat gempabumi kuat di Sumatera, ini masih tidak sampai ke tahap memusnah atau bahaya kepada nyawa.
21. Bersyukurlah, negara kita terlindung daripada bencana besar cetusan gempabumi.
IBK: 15 Mac 2016