
1. Pada pertengahan Mac 2016, Pusat Kajian Bencana Alam Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) telah menganjurkan bengkel mengenai Sains untuk Mengurus Risiko Bencana bertempat di Petaling Jaya.
2. Objektif Bengkel ini ialah untuk memahami keperluan pengetahuan Sains dan menentukan prioriti kewangan dalam pengurusan risiko bencana. Tumpuan diberikan kepada bagaimana institusi insuran boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko bencana.
3. Profesor Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri telah dijemput menyampaikan kertas dasar mengenai senario kefahaman Sains dan peranannya dalam pengurusan bencana alam.
4. Saya tertarik dengan beberapa contoh beliau berikan tentang bagaimana pengetahuan kepelbagaian biologi memberi manfaat besar kepada manusia. Antaranya, manusia pastinya tidak dapat menikmati keenakan durian sekiranya semua spesies kelawar pupus. Bayangkan ketika manusia sedang nyenyak tidur, kelawar sibuk keluar malam mendebungakan pokok durian!
5. Menyelesaikan masalah bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, bukan hak eksklusif suatu bidang ilmu sahaja. Pada peringkat huluan, kita memerlukan pengetahuan Sains Bumi, khususnya memahami fenomena dan faktor penyebab bencana.
6. Dalam peringkat pertengahan, terutamanya berkaitan adaptasi dan mitigasi, ilmu berkaitan Teknologi dan Kejuruteraan diperlukan. Sementara, aspek hiliran dan pengurangan risiko, pelbagai bidang ilmu lain seperti pengetahuan berkaitan perancangan, pengurusan, sains sosial dan kewangan penting digembeleng bersama.
7. Perbincangan bengkel tertumpu kepada peranan pihak swasta, terutamanya dalam aspek perkhidmatan insuran bencana. Ini merupakan satu tindakan proaktif, khususnya dalam konteks pengurungan risiko bencana.
8. Usaha sama telah diamalkan oleh beberapa negara maju yang berhadapan dengan bencana alam tabii berskala besar seperti di Jepun dan Amerika Syarikat.
9. Perkhidmatan insuran sangat penting dalam proses pembinaan semula, khususnya bencana alam yang mengakibatkan kerosakan atau kemusnahan harta benda, perniagaan dan sumber pendapatan. Ini adalah amalan sihat perkongsian risiko antara mangsa, kerajaan dan pihak swasta.
10. Jika perkhidmatan insuran ingin dilaksanakan di Malaysia, kita perlu memahami senario bencana yang melanda negara sejak beberapa dekad terakhir. Daripada perspektif global, Malaysia boleh dikategorikan sebagai negara yang di landa bencana alam berisiko rendah.
11. Kita jarang terlibat secara terus dengan bencana letusan volkano, gempa bumi, tsunami dan Typhoon (Tropical cyclone). Bencana alam paling kerap melanda Malaysia ialah banjir besar (sungai), gelinciran tanah dan hakisan pantai.
12. Jika dilihat daripada statistik bencana yang mengorbankan nyawa, kebanyakannya di sebabkan oleh tanah runtuh sepanjang lebuhraya dan kawasan pesat membangun.
13. Situasi di Malaysia berbeza dengan di negara yang berhadapan dengan bencana alam berskala besar seperti Indonesia, Filipina dan Jepun. Kita berhadapan dengan bencana alam cetusan-manusia, bukannya bencana alam tabii.
14. Bagi bencana alam tabii seperti banjir besar dan gelinciran tanah, fenomena ini di luar jangkaan manusia. Curahan hujan luar biasa kuantitinya menyebabkan alur sungai tidak dapat menampung air larian, maka berlakukan limpahan di dataran banjir.
15. Begitu juga dengan keadaan di kawasan pergunungan, dari masa ke semasa, proses geomorfologi menyebabkan cerun tabii menjadi tidak stabil dan berlaku gelinciran tanah berskala besar dan berupaya memusnah pertempatan dilaluannya.
16. Dalam pembinaan, lazimnya cerun bukit dipotong atau cerun tambakan dibina bagi menyediakan tapak pembangunan. Selepas beberapa ketika, berlaku tanah runtuh yang memusnahkan kawasan perumahan, ini bukan bencana tabii, sebaliknya ialah bencana cetusan-manusia.
17. Jurutera bertauliah seharusnya mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menyediakan rekabentuk cerun yang stabil dan selamat.
18. Begitu juga jika berlaku banjir kilat selepas hujan lebat, ia pastinya disebabkan banyak kawasan telah diterokai tanpa menyediakan sistem saliran tambahan yang mencukupi.
19. Dasar Insuran Bencana Alam perlu membezakan dua penyebab utama ini iaitu proses alam dan bencana cetusan-manusia.
20. Kawasan yang telah dikenalpasti berisiko bencana alam tabii, sekiranya sedang dirancang atau telah dibangunkan untuk pertanian, perindustrian dan pertempatan, kerajaan atau pihak berkepentingan perlu bertanggung memastikan keselamatan awam.
21. Insuran Bencana Alam boleh diperkenalkan dan ia perlu disediakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keupayaan membangun semula disegerakan dan risiko terhadap komuniti setempat dikurangkan.
22. Bagaimanapun, apabila berhadapan dengan bencana cetusan-manusia, pihak pemaju atau individu pemilik harta perlu mengambil tanggungjawab apabila berhadapan dengan bencana begini.
23. Amalan mengenali risiko bencana perlu dibudayakan kepada awam di peringkat awal pembangunan. Justeru, mereka sepatutnya mempunyai pilihan untuk mengambil risiko atau tidak ketika membeli rumah kediaman. Jika merasakan perlu, mereka seharusnya membeli insuran bagi berkongsi kerugian sekiranya berhadapan dengan bencana.
24. Pada umumnya, kerajaan bertanggungjawab menjaga keselamatan awam ketika berhadapan dengan bencana alam tabii. Komuniti desa yang tiada pilihan, terpaksa tinggal di kawasan bencana perlu dilindungi oleh pihak berkuasa tempatan.
25. Bagaimanapun, bagi yang berkemampuan dan memilih untuk mengambil risiko, khususnya yang melibatkan bencana cetusan-manusia, pembelian insuran bencana ialah pilihan terbaik untuk menjaga harta persendirian mereka.
IBK: 8 April 2016