Universiti Awam Abad ke-21

img_0504
Langkawi International Tourism Awards 2015

1. Pengurangan ketara bajet pendidikan tinggi 2017 boleh meninggalkan kesan negatif atau positif.

2. Universiti Awam (UA) yang mengekalkan tradisi lama akan berhadapan dengan pelbagai kekangan perbelanjaan, sementara yang berjaya melakukan transformasi mungkin boleh berada pada tahap yang lebih cemerlang.

3. Transformasi boleh dilakukan terhadap program pengajian, pengurusan bakat akademik, pendekatan penyelidikan dan jangkauan dengan agensi awam dan swasta.

4. Pendidikan tinggi bukan lagi sebuah institusi menara gading, ia tidak sahaja perlu menjalankan urusan tradisi – penerokaan ilmu baharu dan menyampaikan kepada pelajar dan rakan kesepakaran.

5. Sebaliknya, ia perlu terlibat dalam pelbagai bentuk latihan kemahiran dan profesional, menjalankan kajian gunaan (pembangunan teknologi dan produk), dan pemindahan pengetahuan kepada pihak berkepentingan dan masyarakat setempat.

6. Dalam konteks bertransformasi, UA perlu membina strategi baharu dalam mengharungi cabaran masa hadapan. Jika tugas utama satu ketika dahulu iaitu menawarkan pelbagai program pengajian pra-siswazah, kini urusan ini telah dikongsi dengan Universiti Swasta dan Kolej Universiti.

7. Apabila isu kebolehpasaran graduan dijadikan kayu pengukur, mereka berhadapan dengan cabaran getis untuk terus relevan. Kursus bersifat sains tulen, sains sosial dan kemanusiaan menjadi kurang relevan kerana menunjukkan kebolehpasaran yang rendah. Walhal, mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk membangun kepelbagaian ilmuan untuk ketamadunan sejagat.

8. Untuk kekal relevan, UA perlu berganjak daripada bersifat universal kepada pengajian terfokus. Ini perlu dilakukan sama ada dalam kelompok ilmu tertentu (nic) atau sektor pembangunan utama seperti pertanian, industri termaju, pengurusan, sains kelautan dan kelestarian sumber asli.

9. Pendekatan perlu bersifat multi-bidang dengan meneroka ilmu fundamental hingga aspek penyelesaian masalah dan pembangunan teknologi. Mereka perlu menunjukkan cirian kepimpinan mendahului zaman dan mempertahankan kecemerlangan serta reputasi akademik sehingga graduan yang dihasilkan bernilai tinggi dan dicari majikan.

10. UA sudah tidak sesuai bersaing di gelanggang kebangsaan, tetapi perlu beralih ke arena global. Ilmu yang diterokai, perlu berasaskan keunikan tempatan tetapi menyumbang kepada kepentingan sejagat.

11. Sebagai contoh, dalam kemajuan sains dan teknologi, perspektif rantau tropika masih belum mendapat perhatian tinggi oleh komuniti ilmuan global. Dalam situasi begini, kecemerlangan kepimpinan akademik negara terletak pada keupayaan mereka mendalami dan mengupas isu kemanusiaan, teknologi dan perniagaan berkaitan dengan pengurusan sumber asli dan cabaran iklim tropika lembab.

12. Ketika berhadapan dengan arus globalisasi, UA juga perlu memberikan perhatian tinggi kepada kepentingan pengantarabangsaan. Ramai yang masih salah faham perbezaan antara pengantarabangsaan dan penginggerisan.

13. Dalam pengantarabangsaan, universiti perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan dan penyampaian ilmu, pelajar, ahli akademik serta jangkauan global. Sementara mempertahanan program pengajian untuk keperluan negara berasaskan budaya ibunda, mereka boleh memperkenalkan program berpespektif global, di mana pelajar dan ahli akademiknya datang dari pelbagai negara.

14. Kepimpinan juga perlu mengubah set minda bahawa graduan yang dihasilkan adalah untuk pasaran global.

15. Ada perbezaan yang ketara antara bahasa minda dan bahasa komunikasi. Jika ahli akademik dan pelajar dibesarkan dalam komuniti berbudaya tempatan, bahasa mindanya juga terbentuk dalam bahasa bangsanya.

16. Kepimpinan dan kecemerlangan akademik hanya dapat dipertahankan apabila pemikiran dan penyelidikan dikembangkan dalam bahasa minda bangsanya. Ini melibatkan cara berfikir, berhujah dan pendekatan menyelesaikan masalah.

17. Kelainan ini dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa bangsa besar dunia seperti Inggeris, Perancis, Jerman, China, Russia, Korea, Sepanyol, Jepun dan Indonesia.

18. Begitupun, ahli akademik yang bijaksana perlu memahami beberapa bahasa besar yang telah dijadikan alat membangun ilmu sejagat. Dengan cara ini mereka tidak ketinggalan dalam proses perkongsian ilmu.

19. Dalam konteks yang berbeza, mereka juga perlu mempunyai mekanisme untuk menulis dalam bahasa sasaran. Jika menulis untuk anak watan gunalah bahasa Melayu, bahasa ibunda yang kita sama-sama raikan. Sebaliknya apabila menulis untuk komuniti global, pakailah bahasa Inggeris atau yang bersesuaian dengan sasaran.

20. Strategi menjana ilmu perlu berasaskan konsep ‘berfikiran global, bertindak lokal’, dan penyebaran ilmu pula bersifat melampaui sekitaran universiti.

21. Jika pada masa ini kecemerlangan akademik hanya ditafsirkan daripada perspektif penilaian kesepakaran (penerbitan dalam jurnal berkualiti), masanya telah tiba untuk memperluaskan maksudnya kepada hasilan berimpak tinggi – khususnya kepada kerajaan, industri dan komuniti setempat.

22. Penilaian tidak sahaja kepada inovasi ilmu, tetapi perlu meliputi inovasi teknologi dan inovasi sosial. Kata-kata ‘apa gunanya ilmu jika tidak boleh digunakan oleh masyarakat’ mungkin boleh dijadikan panduan penilaian kecemerlangan masa hadapan.

23. Satu lagi transformasi yang perlu berlaku ialah Universiti Awam berkongsi ahli akademik berwibawa (malim) dalam urusan pengajian dan penyelidikan.

24. Jika pada masa ini setiap ahli akademik ditempatkan di bawah fakulti atau institut penyelidikan, kini tiba masanya mereka adalah diurus di peringkat universiti dan boleh dikongsi kepakarannya oleh beberapa Universiti Awam.

25. Pada peringkat awal, Naib Canselor daripada Universiti Penyelidikan boleh memulakan perundingan untuk urusan perkongsian bakat akademik ini. Pada hakikatnya, para sarjana yang ditempatkan di universiti adalah hak negara dan masyarakat sejagat.

26. Prasyarat transformasi Universiti Awam ialah autonomi – autonomi pengurusan bakat akademik, penawaran program akademik dan pemilihan pelajar, serta disokong oleh governans kewangan korporat.

27. Sementara, kerajaan masih perlu menyediakan dana melalui geran untuk mengurus sumber manusia dan infrastruktur, dana untuk melaksanakan program pengajian dan penyelidikan perlu diperolehi daripada perkhidmatan akademik.

28. Buat permulaan, UA perlu dibenarkan menentukan yuran pengajian berasaskan pasaran. Pendidikan tinggi tidak lagi percuma, tetapi ditentukan oleh kualiti perkhidmatan dan permintaan. Mengapa kita sanggup membayar tinggi untuk belajar di luar negara, tetapi tidak sanggup berbelanja apabila belajar di negara sendiri?

29. Dalam senario baharu ini, sumber kewangan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan pengajian tinggi boleh dirangsang oleh dana Tabung Amanah Pengajian Tinggi seperti PTPTN. Seperti bank Rakyat, Bank Pertanian atau Tabung Haji, Ia adalah badan bertanggungjawab menyediakan dana Pendidikan Tinggi kepada masyarakat yang memerlukannya.

30. Sudah tiba masanya kerajaan menyerahkan tanggungjawab perkhidmatan pengajian tinggi kepada calon pelajar dan keluarganya.
IBK: 1 Disember 2016

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s