Prinsip Pembangunan Kendiri

_dsc1017
Komuniti Tempatan, Raja Ampat, Indonesia

1. Keprihatinan Kerajaan terserlah apabila Perdana Menteri mengumumkan diskaun 10% untuk bayaran balik PTPTN melalui potongan gaji serta merta. Saya cadangkan mereka yang telah bekerja sila ambil peluang keemasan ini.

2. Adat berjanji, ditunaikan dan adat meminjam, dibayar. Amalan ini tidak sahaja kita dihormati masyarakat, tetapi ketenangan dan kebahagian hidup boleh tercapai.

3. Apabila kerajaan mewajibkan setiap penjaga menghantar anak mereka ke sekolah, ini adalah dasar yang bijak untuk memastikan seluruh warga diberikan pendidikan asas untuk mengharungi kehidupan.

4. Pembiayaan besar disediakan bagi membolehkan institusi ini berjalan sempurna dan rakyat tidak dibebankan dengan biaya persekolahan. Dasar persekolahan percuma telah menjadikan Malaysia dikenali dan dihormati oleh rakan negara dunia.

5. Ramai juga bertanya mengapa kerajaan tidak meneruskan dasar yang sama untuk pendidikan tinggi? Sebetulnya pendidikan tinggi awam negara juga hampir percuma. Kerajaan menyediakan budget yang tinggi untuk mengurus universiti, kolej universiti dan politeknik.

6. Biaya pembangunan infrastruktur, gaji ahli akademik dan staf am dan dana pengurusan semuanya daripada kerajaan. Ini hampir 90% daripada kos sebenar pengajian tinggi. Pelajar hanya perlu membayar yuran rendah (dikawal oleh kerajaan) dan sara hidup ketika berada di kampus.

7. Pada prinsipnya, pendidikan tinggi adalah pilihan dan tanggungjawab pelajar serta penjaganya. Pengajian tinggi bukan sekadar peluang mendapatkan ilmu dan kemahiran tinggi untuk dunia pekerjaan.

8. Ia adalah dunia baharu yang membuka minda, mengasah kemahiran berfikir dan berkomunikasi, serta laluan ke alam dan peluang tanpa batasan. Peluang istimewa ini memerlukan perbelanjaan besar dan tiada kerajaan yang mampu membiaya sepenuhnya.

9. Saya terpanggil untuk menulis isu ini kerana mendapati minda sesetengah warga masih terperangkap dengan kepercayaan pendidikan tinggi adalah tanggungjawab kerajaan. Kerajaan perlu menyediakan institusi universiti sama seperti sekolah bagi mereka yang layak (pandai) masuk ke pengajian tinggi.

10. Set minda ini dipengaruhi oleh sejarah pembangunan negara dan mentaliti subsidi yang telah bersebati dengan masyarakat kita sejak negara mencapai kemerdekaan.

11. Ketika negara sedang membangun dan negara memerlukan ramai pekerja mahir dalam pelbagai sektor dan bidang ilmu, kerajaan telah membuat dasar untuk membiaya sepenuhnya mereka yang layak ke pusat pengajian tinggi.

12. Kerajaan menyediakan banyak biasiswa bagi membolehkan hasrat ini dicapai. Kini negara telah menghampiri status negara maju, keupayaan warga negara telah meningkat dan sampai masanya urusan mendapatkan pendidikan tinggi diserahkan kepada individu, keluarga, komuniti dan para dermawan.

13. Walaupun negara memerlukan ramai pekerja mahir dan pakar, tanggungjawa menimba ilmu terletak di bahu individu. Memandangkan terdapat ribuan bidang ilmu yang boleh diterokai, pemilihan yang tepat terletak di tangan sendiri.

14. Ia mempunyai kaitan rapat dengan cita-cita, iltizam, minat dan keserasian individu masing-masing. Pendidikan tinggi adalah tanggungjawab kendiri dan keluarga, usah serahkan hak ini kepada orang lain.

15. Mentaliti subsidi adalah penghalang paling besar dalam kemajuan negara. Ramai yang masih berfikir, ‘semuanya tanggungjawab kerajaan’. Mentaliti ini telah berleluasa sehingga, ada yang berpendapat segala kepincangan dalam sistem sosial berpunca daripada kelemahan dasar dan pelaksanaan kerajaan.

16. Walhal, sebahagian besar daripada budaya dan tradisi berkembang daripada kepimpinan individu dan komuniti setempat. Hanya kerana membayar cukai, ada warga Malaysia yang beranggapan, ‘tugasnya membuang sampah merata-rata, dan tugas kerajaan memungutnya’.

17. Negara perlu menilai kembali sistem sosial, dan menggalakkan masyarakat terlibat sepenuhnya untuk pembangunan negara. Prasyarat menjadi negara maju ialah dengan menganjurkan wawasan pemerkasaan komuniti atau kaedah ‘bawah-atas’.

18. Tanggungjawab mendapatkan pendidikan tinggi kini perlu diserahkan kepada individu dan komuniti. Kerajaan hanya perlu menyediakan prasarana dan sokongan untuk meningkatkan kualitinya sahaja.

19. Ketika melakukan perubahan, daripada biasiswa ke pembiayaan sendiri, kerajaan telah memperkenalkan institusi pinjaman biaya pengajian tinggi atau lebih dikenali PTPTN.

20. Ia menjadi institusi terpenting meneruskan kesinambungan institusi sokongan kerajaan bagi memastikan komuniti berpendapatan rendah dan sederhana diberikan peluang untuk ke menara gading. Hampir dua juta individu telah mendapat faedah daripada usaha murni ini.

21. Begitupun, PTPTN tidak mungkin dapat meneruskan peranannya jika masih ramai peminjam yang beranggapan pinjaman itu pemberian kerajaan!

22. Saya yakin ramai yang telah berubah sikap, memahami erti pinjaman. Bukan sahaja daripada perspektif agama dan etika, setiap pinjaman bagaimana sukar sekalipun perlu dibayar, ia juga dapat menenang jiwa dan fikiran mengharungi kehidupan.

23. Bagi yang telah bekerja, ambillah kesempatan diskaun 10% seperti diumum dalam belanjawan 2017 ini.

IBK: 3 Disember 2016

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s