Menilai Kecemerlangan Akademik

IMG-20170803-WA0000
Majlis Syarahan Pengukuhan Prof Dato Mokhtar Saidin

 

1. Ahli akademik di pusat pengajian tinggi perlu melaksanakan pelbagai peranan secara berterusan. Antara peranan utama ialah pendidikan tinggi (pensyarah); penjana ilmu baharu (penyelidik); pemimpin ilmu (sarjana); dan penyampai ilmu kepada masyarakat (intelek awam).

2. Semua ini perlu dilaksanakan dengan cemerlang, pada tahap tertinggi dan berteraskan etika akademik.

3. Sejak kebelakangan ini, atas pengaruh pengurusan korporat, pendidikan perniagaan dan desakan memenuhi ranking universiti, sumbangan akademik dinilai berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama atau KPI.

4. Setiap ahli akademik, setiap Institut penyelidikan dan fakulti pengajian telah ditentukan KPInya. Antara KPI utama ialah jumlah penerbitan terindeks, jumlah dana penyelidikan diterima, jumlah pelajar pasca-siswazah bergraduat, produk boleh dikomersialkan dan beberapa lagi yang boleh diukur.

5. Semua ahli akademik kini berbicara mengenai MyRA iaitu satu sistem pengukuran yang digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengukur prestasi universiti awam.

6. Saya tidak menafikan, KPI boleh memainkan peranan positif untuk mengubah set minda ahli akademik ke arah kepentingan output, dan ia baik bagi ahli akademik berprestasi biasa. Mereka yang berprestasi rendah perlu dinilai menggunakan KPI.

7. Begitupun, KPI juga jika tidak ditangani dengan bijaksana, boleh meninggalkan kesan negatif dan berupaya membunuh kreativiti dan kesarjanaan dalam dunia akademik.

8. Terdapat perbezaan besar antara sebuah kilang yang mengeluarkan produk berkualiti tanpa kecacatan dengan institusi pengajian tinggi yang menghasilkan bakat ilmuan dan pemimpin masa hadapan.

9. Dunia akademik di kawal oleh pegangan kepada ‘nilai teras akademik’ iaitu mencari kebenaran, meraikan kepelbagaian, mengejar kecemerlangan, ilmu untuk semua dan integriti akademik.

10. Telah menjadi tradisi akademik, sumbangan dan kecemerlangan ditentukan oleh ‘rakan kesepakaran’, iaitu mereka yang memahami perkembangan bidang ilmu dan berupaya menilai sumbangan asli yang bermakna.

11. Dalam konteks penyelidikan, jenis dan tahap penyelidikan berbeza mengikut keperluan, kepelbagaian ilmu dan persoalan yang diselesaikan. Pada prinsipnya, penyelidikan ahli akademik berteraskan kepada ‘penerokaan ufuk ilmu’ (fundamental) untuk membina kesarjanaan dan kewibawaan.

12. Hasilnya terserlah daripada aktiviti kepimpinan akademik, program penyelidikan berpasukan dan penerbitan asli. Kecemerlangan sumbangan seperti ini hanya dapat dihayati oleh sekelompok kecil ahli akademik yang mengikuti perkembangan ilmu dalam bidang yang sama.

13. Berasaskan kewibawaan, mereka dijemput untuk menjalankan penyelidikan gunaan (penyelesaian masalah), penyelidikan pembangunan (inovasi teknologi) dan penyelidikan multi-disiplin (perancangan dan pengaruh dasar).

14. Aktiviti seperti ini juga, selain mencipta produk dan proses, menghasilkan penerbitan bersifat teknikal dan gunaan. Hasil sumbangan ‘bukan fundamental’ begini lazimnya lebih mudah diserlah kepada ‘rakan keserakanan’ dan masyarakat awam.

15. Dalam dunia akademik, sumbangan seperti ini bersifat sampingan, tapi mempunyai makna yang besar kepada pembangunan komuniti, industri dan  negara.

16. Ahli akadimik berwibawa atau memperolehi dana penyelidikan gunaan yang banyak berupaya menarik ramai pelajar siswazah (sarjana dan doktor falsafah). Dengan bimbingan yang baik, pelajar berkaitan mampu menjalankan penyelidikan berfokus dan menerbitkan kertas jurnal secara bersama.

17. Dalam konteks ini, hasilan penyelidikan dan penerbitan pada prinsipnya adalah usaha intelek pelajar dan penyelia hanya sebagai mentor bagi menghasilkan sumber bakat pakar. Pastinya, wawasan akademik adalah pemikiran asal mentor masing-masing.

18. Senario di atas menunjukkan, kuantiti penerbitan hanya mewakili hasil kerja keras ahli akademik – mendapatkan dana dan pelajar siswazah, dan keupayaan mengurus sumber bagi memestikan jumlah penerbitan dan produk inovasi meningkat.

19. Ia bukan sepenuhnya mewakili kesarjanaan, kecemerlangan dan kewibawan akademik. Peningkatan jumlah penerbitan, pelajar siswazah dan produk inovasi yang boleh dikomersialkan adalah KPI pertumbuhan positif sesebuah universiti, tetapi tidak semestinya mewakili kesarjanaan dan kecemerlangan seseorang ahli akademik tertentu.

20. Dalam konteks pendidikan tinggi (pengajaran dan pembelajaran) pula, isu yang sama boleh diulas iaitu perbezaan antara sumbangan dan keberkesanan pengajaran dengan pemindahan ilmu dan pembinaan perwatakan.

21. Guru menyampaikan ilmu, tetapi ahli akademik ‘mengairah pemikiran’. Setiap kuliah ialah sumbangan kesarjanaan asli yang mampu mengerakkan kepercayaan, keyakinan dan mengilham masa cemerlang.

22. Oleh itu, jumlah kursus, program, pelajar dalam dan luar negara, kebolehpasaran bukan pengukuran pencapaian akademik. Sebaliknya, pemimpin dan tenaga pakar berilmu, berintegriti dan berwawasan besar yang dihasilkan oleh seorang ilmuan adalah refleksi kehebatan dan kewibawaan akademiknya.

23. Mengikuti perkembangan pengajian tinggi semasa dan pendekatan menilai kecemerlangan ahli akademik universiti tempatan, saya terpanggil untuk mengupas isu penting ini. Lazimnya beberapa ahli akademik terbilang membawa imej besar sesebuah pusat pengajian atau universiti.

24. Kini gabungan KPI individu akademik dan MyRA menjadi asas menentukan prestasi (ranking) sesebuah universiti. Penilaian akademik berasaskan kesarjanaan, kecemerlangan dan kewibawaan bakal tinggal menjadi sejarah.

 

 

IBK: 3 Ogos 2017

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s