Banjir Besar Pulau Pinang 2017

penang-flood-aerial-shot
Photo: Jocelyn Tan @channelnewsasia.com

 

 

1. Banjir besar bermula 4 November 2017 di Georgetown dan Seberang Perai beberapa amat luar biasa. Hujan lebat dilaporkan turun berterusan selama lebih 17 jam, diikuti dengan fenomena angin kencang yang memburukkan lagi keadaan.

2. Mungkin ini ialah impak ‘pemanasan global’ yang menyebabkan keamatan hujan dan ribut taufan semangkin meningkat. Seorang rakan dari Pulang Pinang menyatakan ‘sejak bekerja di USM lebih 35 tahun, inilah pengalaman banjir paling teruk melanda pulau ini pernah saya alami’.

3. Banjir ialah fenomena alam, apabila hujan lebat berterusan, kuantiti air melampaui keupayaan sungai mengalirkannya ke laut, paras sungai terus meningkal, akhirnya melimpah keluar maka berlakulah banjir.

4. Kawasan rendah yang mendatar di pinggir sungai dikenali sebagai ‘dataran banjir’ kerana ia terbentuk hasil daripada proses banjir. Banjir bukan bencana, ia menjadi bencana apabila mengancam nyawa atau merosakkan harta benda. Masyarakat yang memahami banjir akan mengambil langkah berjaga-jaga dan persiapan rapi apabila berhadapan dengan banjir.

5. Banjir besar berlaku secara berkala, lazimnya di luar kawalan manusia. Banjir yang berlaku dengan pantas atau paras banjir meningkat tinggi di luar kawalan, boleh merosakan harta atau meragut nyawa dikenali sebagai bencana banjir.

6. Bagi bencana banjir, kita sering menjelaskan daripada perspektif paras banjir setiap 10, 50 atau 100 tahun. Kerja pembinaan dan reka bentuk kejuruteraan untuk prasarana awam lazimnya di buat dengan mengambil kira paras banjir setiap 50 atau 100 tahun bagi mengelakkan bencana banjir berlaku.

7. Walaupun pencetus banjir lazimnya disebabkan hujan lebat berterusan di kawasan tertentu, faktor penyebab kejadian banjir pelbagai dan kompleks. Di pantai timur Semenanjung Malaysia atau di persisir sungai besar, banjir besar berlaku disebabkan hujan berterusan sepanjang musim tengkujuh.

8. Data hujan dan kenaikan paras sungai dapat digunakan untuk meramal keadaan banjir dan merancang proses memindah penduduk di kawasan kampung yang diramal bakal berlaku banjir.

9. Di kawasan bandar seperti Georgetown, Seberang Perai atau Kuala Lumpur, faktor penyebab banjir lebih kompleks. Kebiasaannya apa yang berlaku ialah ‘banjir kilat’ iaitu banjir di sesuatu kawasan kecil ketika hujan lebat, air naik dengan pantas dan surut dengan pantas juga.

10. Dalam keadaan tertentu, banjir sungai dan banjir kilat berlaku secara bersamaan, dan impaknya lebih ketara. Banjir yang berlaku di Pulau Pinang baharu-baharu ini kemungkinan besar ialah fenomena gabungan banjir sungani dan banjir kilat.

11. Banjir kilat lebih berpengaruh di kawasan perbandaran, antara sebab utama ialah pembangunan hebat di permukaan bumi menyebabkan air hujan tidak dapat menyerap masuk ke dalam tanah.

12. Akibatnya semua air hujan akan mengalir dengan pantas di permukaan bumi, masuk di longkang dan anak sungai dengan kadar yang sangat tinggi. Hanya dengan hujan lebat dalam satu dua sahaja, banyak kawasan bandar boleh berlaku banjir kilat.

13. Faktor utama yang menyebabkan terjadinya banjir kilat di kawasan perbandaran ialah reka bentuk sistem perparitan yang kurang sempurna. Keadaan ini lebih ketara apabila bandar terletak di kawasan dataran banjir, dan sistem perparitan lama tidak dapat diperbesarkan lagi.

14. Pembangunan kawasan perumahan yang sangat pesat, tanpa diikuti dengan pembesaran sistem perparitan akan memburukkan lagi keadaan. Banjir kilat di kawasan bandar, walaupun dalam keadaan hujan normal disebabkan oleh situasi ini.

15. Faktor lain melibatkan kerosakan terhadap sistem perparitan dan proses penjagaan yang kurang sempurna. Banyak kejadian banjir kilat berlaku disebabkan sama ada sistem perparitan tersumbat atau pecah.

16. Tumpuan aliran air hujan di kawasan seperti ini menjadi punca utama banjir kilat. Selain kerosakan terhadap sistem perparitan, kelakuan masyarakat yang sering membuang sampah sarap ke dalam longkang dan sungai juga menjadi punca utama kejadian banjir kilat.

17. Di Pulau Pinang, keadaan topografi perbukitan bertukar menjadi kawasan rata juga menjadi faktor penyebab berlakunya banjir dan banjir kilat. Jika hujan lebat berlaku di kawasan perbukitan, air akan mengalir dengan pantas di kawasan bercerun curam, akibatnya apabila aliran air menjadi perlahan di kawasan rata, limpahan air dan banjir mudah berlaku di kawasan sempadan antara kawasan berbukit dan kawasan rata.

18. Keadaan menjadi lebih teruk jika banyak pembangunan berlaku di kawasan perbukitan. Bukit yang dibersihkan atau diratakan akan menyebabkan hakisan tanah berlaku dengan kadar yang tinggi.

19. Pasir dan lodak akan di angkut dan diendapkan di alur sungai dan di kawasan rendah. Paras dasar alur sungai menjadi semakin cetek sehingga keupayaan sungai mengalirkan air menjadi rendah. Keadaan begini yang menyebabkan banjir lebih mudah berlaku setiap kali musim hujan.

20. Apabila hujan lebat berterusan dan diikuti dengan angin kencang, pelbagai fenomena lain boleh berlaku. Antaranya, ia boleh menyebabkan tanah runtuh, aliran debris dan aliran lumpur, serta pokok tumbang. Semua ini menyebabkan keadaan laluan air terganggu dan akibatkan banjir menjadi semakin buruk sehingga menyebabkan bencana.

21. Banjir kilat dan banjir luar biasa adalah petanda keupayaan kawasan telah dilampaui untuk pembangunan. Sistem perparitan sedia ada tidak mempunyai keupayaan secukupnya untuk menyalurkan air hujan ke laut.

22. Kajian terperinci perlu dijalankan untuk menjawab apakah banjir yang berlaku di Pulau Pinang ialah fenomena alam di luar kawalan, atau kita telah mengubah rupabumi tanpa kawalan rapi sehingga banjir adalah reaksi alam terhadap kerakusan manusia.

 

IBK 10 November 2017.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s