
1. Krisis air di Selangor dan beberapa daerah kekurangan sumber air menunjukkan Malaysia sedang berhadapan dengan krisis atau isu keselamatan air yang semakin kritikal. Sama ada krisis ini berpunca daripada faktor politik atau kelemahan dalam pengurusan air, pada hakikatnya isu ini menjejas pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
2. Pada masa ini kebanyakan negeri bergantung kepada bekalan daripada air permukaan dan air tanah hampir permukaan. Ternyata kedua-dua sumber ini telah digunakan dengan meluas dan hampir mencapai takat tepu.
3. Walaupun Malaysia berada di rantau Tropika Lembab dan dirahmati dengan curahan hujan tinggi, kekurangan bekalan air umumnya disebabkan oleh pengurusan air lemah dan kesensitifan bekalan disebabkan faktor cuaca.
4. Semasa musim kemarau, paras air dalam empangan, tasik dan sungai boleh menurun dengan mendadak, dan bekalan terjejas. Air tanah hampir permukaan turut terjejas kerana ia berhubung terus dengan air permukaan.
5. Sumber air ini juga terdedah dengan pencemaran sungai dan tanah sehingga kualiti bekalan merosot pada tahap membimbangkan. Jika digunakan dengan meluas juga akan menyebabkan bencana tanah mendap.
6. Air hujan yang turun di permukaan bumi sebahagiannya mengalir ke laut. Sebahagian yang lain tersimpan di permukaan bumi dan meresap ke bawah tanah.
7. Hanya sekitar 1% tersimpan dalam tasik dan sungai, dianggarkan 4% tersimpan sebagai air tanah hampir permukaan, dan selebihnya iaitu 95% tersimpan dalam akuifer (takungan) batuan, ratusan hingga ribuan meter di bawah permukaan tanah.
8. Kita pernah menggunakan air tanah hampir permukaan satu ketika dahulu. Semua rumah kampung dan pekan membina perigi untuk bekalan air. Ini adalah air tanah hampir permukaan yang telah lama kita gunakan. Kita perlu bersyukur, hari ini semua rumah mempunyai paip air dan mulai kurang sensitif dari mana sumber air tersebut.
9. Air tanah dalam akuifer batuan telah lama digunakan di negara maju. Ada negara atau bandaraya yang menggunakan hampir 100% bekalan air tanah ini. Air tanah dalam akuifer batuan berbeza dengan air permukaan dan air tanah hampir permukaan.
10. Ia tersimpan dalam rongga batuan, hampir sama seperti petroleum yang tersimpan dalam batuan beberapa kilometer di bawah dasar lautan di Terengganu, Sabah dan Sarawak.
11. Untuk meneroka air tanah akuifer batuan, kita perlu membuat kajian mendalam mengenai geometri (bentuk dan saiz) akuifer, jumlah air yang tersimpan di dalamnya, kualiti, punca dan keupayaan untuk membekalkan air.
12. Sebahagian besar air bersih tersimpan di dalam akuifer batuan, ia akan tersimpan buat selama-lamanya jika tidak dikeluarkan atau digunakan. Jika ia dipam keluar, sumber air baharu akan masuk dan menggantikan sumber yang telah dikeluarkan.
13. Aliran air bawah tanah melalui rongga batuan menyebabkan ia mengalami penapisan tabii dan menghasilkan air berkualiti tinggi. Sebahagiannya berkualiti air mineral.
14. Air tanah akuifer batuan juga lazimnya terhindar daripada pencemaran permukaan dan tidak akan menyebabkan bahaya tanah mendap jika dipam keluar. Inilah sumber air bersih masa depan negara.
15. Tidak semua batuan boleh menjadi akuifer atau tempat simpanan air tanah. Ia berkait rapat dengan jenis, tekstur dan struktur batuan, serta ragam aliran air di bawah permukaan.
16. Pembangunannya memerlukan kepakaran ahli geologi dan hidrogeologi bagi mencari dan meneroka. Pada masa ini, Akta yang mengawal urusan mengkaji dan meneroka sumber penting ini dimandatkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains.
17. Bagaimanapun, urusan pembangunan dan agihan bekalan air akuifer batuan ini masih kurang jelas dalam akta atau enakmen dan memerlukan peraturan tersendiri dan seragam.
18. Berbeza dengan lembangan sungai dan lembangan air tanah (istilah yang digunakan untuk mengurus air tanah hampir permukaan), akuifer batuan terletak di suatu tempat tertentu, dan tidak berhubungan antara satu sama lain.
19. Sama seperti medan dan takungan petroleum, ia mempunyai kelainan dan cirian tersendiri. Pembangunan air tanah akuifer batuan pada prinsipnya ialah pengurusan akuifer dan bukannya pengurusan air.
20. Oleh kerana ia bakal menjadi sumber air penting negara, suatu Akta/ Enakmen Air Tanah khusus diperlukan untuk menyelaras aktiviti pembangunan lestari sumber baharu ini di peringkat negeri dan daerah.
21. Pada masa ini Selangor dan Kedah mempunyai Enakmen Air Tanah tersendiri, negeri lain juga perlu wujudkan enakmen yang sama, terutamanya bagi mengurus dan memantau penggunaan secara lestari.
22. Lesen pembangunan air tanah untuk kegunaan ‘air mineral’ kini diurus oleh Kementerian Kesihatan. Kerajaan negeri perlu mempunyai dasar dan strategi baharu bagi mengurus penggunaan air tanah yang tersimpan dalam akuifer batuan.
23. Air tanah dalam akuifer batuan adalah sumber penting bagi kehidupan manusia dan satu rahmat dari Ilahi.
24. Berbeza dengan sumber petroleum yang tidak boleh diperbaharui, air tanah ini lebih banyak jumlahnya dan jika dikeluarkan daripada akuifer, akan diganti dengan sumber air baharu yang mengalir di bawah permukaan bumi.
25. Jika kita mempunyai pengetahuan mengenai punca air, regim aliran dan keupayaan penggantian, ia dapat manfaatkan buat selama-lamanya.
26. Setiap negeri perlu mempunyai iltizam politik, satu hari nanti, semua kampung dan pekan di kawasan luar bandar dibekalkan dengan air tanah akuifer batuan.
27. Jika dahulu, mereka minum air perigi (air tanah hampir permukaan) yang perlu dimasak terlebih dahulu, kemajuan membolehkan mereka minum air yang telah diproses, disalurkan ke rumah melalui paip.
28. Masa hadapan, setiap rumah di kawasan luar bandar dibekalkan dengan air tanah akuifer batuan – berkualiti tinggi, tanpa proses dan klorin, boleh diminum terus dari paip. Inilah makna sebenar kemajuan negara dan kesejahteraan komuniti.
IBK 14 Mac 2018