Kelestarian Bahan Bumi Negara

DSC0980_sRGB
Bekas lombong timah, kini menjadi tapak geopelancongan, Belitong, Indonesia

 

1. Bahan Bumi mewakili sumber asli bukan hidupan iaitu air, tanah, mineral, petroleum dan batuan adalah sumber kehidupan utama yang paling kurang dikenali masyarakat.

2. Masyarakat menganggap bahan ini melimpah luah, mudah diperolehi dan sentiasa berada di sekeliling kita. Bahan ini juga sering dikatakan anugerah Allah untuk faedah manusia.

3. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah diwujudkan oleh kerajaan untuk meneroka dan mengurus bahan bumi, atau sering juga disebut bahan geologi. Jabatan ini adalah institusi terawal dibentuk oleh kerajaan Inggeris ketika menjajah Tanah Melayu.

4. Ketika itu namanya ialah Jabatan Penyiasatan Kajibumi (Geological Survey Department) dan peranan utamanya untuk mencari logam dan pelbagai bijih seperti besi, timah, tembaga, emas serta arang batu. Semua bahan ini amat penting untuk memacu revolusi industri di Barat satu ketika dahulu.

5. Untuk sekian lamanya, JMG telah meneruskan usaha yang diwarisi daripada Inggeris, meneroka sumber komoditi seperti logam berharga untuk menjana kekayaan negara. Hanya dalam beberapa dekad terakhir ini, mereka mula memberikan tumpuan kepada penerokaan sumber bahan binaan dan air tanah, serta mengupas isu bencana alam.

6. Pada sisi yang lain, PETRONAS diberikan mandat khas untuk meneroka bahan bumi petroleum (minyak dan gas) sebagai bahan komoditi bagi meraih kekayaan negara. Begitupun, impak sumbangan JMG kepada masyarakat masih belum diketahui ramai.

7. Masyarakat umum kurang mengetahui bahan bumi ialah blok binaan asas kehidupan dan ketamadunan. Sejarah manusia, revolusi industri dan perkembangan teknologi tinggi lazimnya diwarnai oleh keberadaan bahan bumi.

8. Pertempatan awal manusia di pinggir dan muara sungai kerana kesesuaiannya menyediakan tapak pembangunan, tanah subur untuk pertanian dan air bersih. Bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Ipoh membangun pesat kerana perlombongan bijih timah, Miri membangun kerana minyak bumi dan Pulau Labuan kerana arang batu.

9. Malaysia Baharu perlu kembali ke pangkal jalan untuk melangkah semula ke haluan yang tepat. Dalam konteks pengurusan sumber asli, khususnya bahan bumi yang tidak boleh diperbaharui, kita perlu mengenali sumber yang ada, menganggar kuantiti dan kualiti, dan memadankan dengan keperluan dalam negara semasa dan masa hadapan.

10. Jika wujud sumber berlebihan, barulah kita boleh fikiran daripada aspek komoditi atau barang jualan. Pada prinsipnya, bahan bumi penting untuk pembangunan negara dalam empat perspektif – sumber asas kehidupan, sumber asas pembangunan, bahan industri dan sumber tenaga.

11. Sumber asas kehidupan ialah air bersih, tanah subur dan ekosistem/ landskap untuk mengawal kualiti udara dan air. Lembangan sungai dan kawasan dataran rendah adalah dua komponen bahan bumi terpenting untuk kehidupan.

12. Lembangan bermula di kawasan pergunungan hingga ke muara sungai menjadi nadi utama yang mengawal kuantiti dan kualiti air, dan pembekal tanah subur untuk pertanian.

13. Kawasan pertanian untuk keselamatan makanan, terutama untuk pertanian padi, buah-buahan dan sayuran perlu dilihat sebagai aset bahan bumi penting yang perlu dipulihara.

14. Pengurusan lembangan dan dataran rendah secara bersepadu memerlukan pendekatan perancangan gunatanah yang tegas dan berpandangan jauh.

15. Satu aspek sumber asas kehidupan yang kurang diberikan perhatian ialah warisan tabii iaitu geowarisan dan kepelbagaian biologi. Sebahagian daripada bahan bumi mempunyai nilai saintifik dan budaya yang tinggi.

16. Mineral, fosil, batuan dan landskap yang unik dan jarang jumpaan adalah warisan bernilai kebangsaan atau dunia. Landskap berpandangan indah umpamanya, menjadi khazanah yang tidak ternilai harganya, sebagai identiti, inspirasi dan kebanggaan komuniti tempatan, perlu dipelihara dan ditinggalkan untuk anak cucu kita.

17. Hari ini, komponen geowarisan juga boleh dibangunkan sebagai produk geopelancongan yang mampu meraih pendapatan negara.

18. Sumber asas pembangunan melibatkan pelbagai bahan binaan untuk prasarana awam dan persendirian. Antaranya ialah tanah tambakan, pasir, batu-bata, kerikil, agregat (batuan) dan simen.

19. Pada masa ini, semua bahan ini diperolehi berhampiran daripada tapak pembinaan bagi menjimatkan kos. Pelbagai isu timbul, terutamanya kuari batuan berhampiran kawasan perumahan dan penggunaan bahan kurang sesuai atau terlebih baik.

20. Malaysia perlu berganjak ke arah penggunaan bahan binaan yang mesra alam dan tidak membazir. Perancangan kelestarian pengkuarian dan kualiti bahan memerlukan pemikiran semula dan garis panduan rapi.

21. Bahan industri ialah pelbagai jenis mineral, batuan dan logam yang diperlukan untuk pembangunan industri. Pasir, tanah liat dan batu kapur umpamanya dapat digunakan untuk ratusan jenis bahan industri, sama ada industri tradisi atau canggih.

22. Pada masa ini, ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk mengimpot bahan ini, sedangkan sumber asasnya banyak di negara, menunggu untuk diteroka dan diproses.

23. Negara perlu memperkasa R&D Bahan Industri secara besar-besaran dan menggalakkan usahawan membangun pelbagai bahan industri daripada sumber tempatan ini. Ini juga adalah asas pembangunan industri watan.

24. Bahan tenaga telah lama dibangunkan, terutamanya arang batu, minyak dan gas bumi. Malaysia mempunyai sumbar arang batu terhad, umumnya di Sabah dan Serawak. Kebanyakannya telah habis diterokai oleh kerajaan Inggeris ketika menjajah kita dahulu.

25. Sumber minyak dan gas pula telah dan sedang diterokai oleh PETRONAS secara bersistem, dan dijangka akan kehabisan sekitar 20 tahun lagi. Sebahagian besar sumber tenaga ini dijumpai di kawasan lepas pantai di Pentas Sunda. Saya yakin pelbagai bahan bumi lain boleh diterokai di pentas sama.

26. Sempena pembentukan kerajaan baharu, warga perlu mengajukan perubahan. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) adalah institusi kerajaan yang berupaya memandu perubahan ini.

27. Dalam konteks pembangunan dan pengurusan bahan bumi, Jabatan Mineral dan Geosains perlu memperluaskan fungsinya sambil menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan beberapa jabatan di luar kementeriannya.

28. Perkhidmatan dan nasihat penggunaan sumber bahan bumi kepada kerajaan tempatan, agensi pelaksana dan pihak swasta memerlukan pendekatan dan paradigma baharu bersesuaian dengan wawasan pembangunan lestari.

 

IBK 13 Jun 2018

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s