
1. Kami tidak menanti bulan jatuh ke riba, begitupun, rakyat perlu bersyukur Bajet 2019 telah memperuntukkan sejumlah dana bagi pengurusan alam sekitar.
2. Selain memberikan galakan dan insentif mengenai teknologi hijau, perhatian turut diberikan kepada usaha memulihara warisan tabii dan alam sekitar, serta sokongan terhadap Agenda Pembangunan Lestari 2030 global iaitu Matlamat Pembangunan Lestari atau SDG.
3. Kerajaan bercadang memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada kerajaan negeri yang berusaha mengekalkan kawasan permuliharaan sedia ada dan berusaha menambah kawasan perlindungan baharu.
4. Ini satu tindakan proaktif berhasrat membina budaya baharu dalam memulihara warisan alam. Komitmen untuk meneruskan usaha mengangkat Taman Hutan Selangor FRIM dan Taman Diraja Belum Perak sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco juga perlu diberikan sokongan padu.
5. Selama ini strategi untuk mengangkat Tapak Warisan Alam Kebangsaan melalui Akta Taman Negara dan Akta Warisan Kebangsaan kurang berkesan. Hal ini disebabkan tanah adalah urusan kerajaan negeri, oleh itu, sebarang tindakan mengurus tanah dengan menggunakan akta Persekutuan kurang mendapat sambutan.
6. Atas keperihatinan tempatan, beberapa negeri telah mewujudkan enakmen Taman Negeri bagi memperkenalkan kawasan perlindungan tersendiri. Banyak Taman negeri telah diwujudkan, umpamanya di Sabah, Serawak, Johor, Perak dan Perlis.
7. Saya syorkan kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyediakan Daftar Warisan Alam Kebangsaan, pada masa yang sama membenarkan kerajaan negeri mewartakan kawasan berkaitan menggunakan enakmen masing-masing.
8. Kerajaan Persekutuan perlu memperkukuhkan Daftar Warisan Kebangsaan melalui pelbagai inisiatif pemuliharaan dan perlindungan di peringkat negeri seperti Landskap Berpandangan Indah, Taman Negara, Santuari Hidupan Liar, Monumen Geologi dan Tapak Terpelihara.
9. Sokongan kewangan dan kepakaran boleh diberikan secara berterusan, dan pemilihan untuk calon Tapak Warisan Dunia (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB), dan UNESCO Global Geoparks (UGG) boleh dilakukan berasaskan nilai warisan, kualiti pengurusan dan komitmen tinggi kerajaan negeri.
10. Bajet 2019 juga memperkenalkan Dana Pembiayaan Pembangunan Lestari (DPPL) berjumlah RM1 bilion bagi menyokong Agenda 2030 dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bertujuan menyelamatkan planet Bumi daripada terus mengalami pemusnahan akibat kerakusan manusia.
11. Walaupun warga dunia telah mengenalpasti 17 SDG yang perlu diberikan perhatian, negara perlu membuat analisis terperinci dan hanya memilih beberapa yang kritikal untuk negara dan memerlukan tindakan segera.
12. Jika diteliti dengan lebih mendalam, Malaysia telah lama mengamalkan sebahagian besar daripada SDG ini, terutamanya matlamat 1-9 dan 17 iaitu agenda berkaitan pertumbuhan ekonomi dan sosial. Kerajaan baharu sedang giat memperbaiki matlamat 16 (keadilan, keamanan dan memperkukuh institusi).
13. Matlamat kritikal yang masih perlu tindakan proaktif ialah 10-11 berkaitan kesejahteraan komuniti dan 12-15 iaitu hal-ehwal alam sekitar seperti penggunaan sumber asli, perubahan iklim dan warisan tabii.
14. Dasar pembangunan negara pada masa ini ialah dasar terfokus kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Tumpuan kepada menjana kekayaan negara serta meningkatkan pendapatan warga penting daripada perspektif kelestarian ekonomi.
15. Pembangunan prasarana awam, pendidikan, rumah mampu milik dan pekerjaan pula berhasrat membina kelestarian sosial. Begitupun, kelestarian ekonomi dan kesejahteraan sosial mempunyai hubungan intim dengan kelestarian alam sekitar.
16. Dasar pembangunan ekonomi dan sosial tidak mungkin tercapai jika perhatian tidak diberikan kepada pembangunan alam sekitar. Jika kita tidak memiliki sungai yang bersih, tanah yang subur dan udara bersih, bagaimana untuk mencapai kesejahteraan sosial?
17. Pembangunan lestari menuntut dasar payung yang bersifat holistik dan inovatif, berasaskan pemikiran bersifat syumul, dan pendekatan pengurusan multi-sektor.
18. Pemikiran pembangunan semasa amat taksub kepada keperluan memperkasa ekonomi dan kedudukan politik. Kepentingan pembangunan alam sekitar yang ciriannya bersifat ‘penting tetapi tidak segera’ lazimnya diabaikan.
19. Oleh itu, isu pemuliharaan alam sekitar, perlindungan warisan alami, kemerosotan sumber lautan dan menangani impak perubahan iklim umumnya masih tidak mendapat bajet yang mencukupi.
20. Sebagai contoh, penerokaan sumber mineral dan bahan bumi tanpa perancangan jangka panjang bukan sahaja tidak memberikan manfaat optimum pada masa ini, tetapi kita telah ‘mencuri’ sumber ini daripada generasi akan datang.
21. Semua sumber bumi, seperti bahan tenaga fosil, bahan binaan, tanih dan mineral berekonomi adalah sumber tidak boleh diperbaharui. Kita bakal kehilangan kebanyakan sember ini jika tidak memperkukuh dasar berkaitan penggunaan lestari sumber tidak boleh diperbaharui.
22. Bajet untuk meneruskan inventori bahan bumi seperti mineral ekonomi, bahan industri dan bahan binaan perlu disediakan bagi memastikan kita mengetahui kuantiti sebenar dan mengurus secara lestari.
23. Isu mengenai kepelbagaian biologi iaitu sumber bumi boleh diperbaharui juga memerlukan pemikiran semula dalam pengurusannya. Kita harus membezanya antara sumber bersifat warisan tabii, perkhidmatan alam sekitar dan sumber makanan.
24. Dalam konteks ini, pendekatan pemeliharaan (perlindungan), pemuliharaan dan penggunaan lestari perlu dirancang secara bermaklum dan dipastikan perlaksanaannya.
25. Kerajaan perlu memperuntukkan bajet pembangunan alam sekitar seimbang dengan pembangunan ekonomi dan sosial demi kelestarian negara tercinta dan memperkasa wawasan negara maju.
IBK: 12 Nov 2018