
1. Malaysia kini mempunyai sebuah UNESCO Global Geopark, dua geopark kebangsaan dan dua lagi calon geopark kebangsaan. Wilayah Langkawi, Jerai, Lembah Kinta, Mersing dan Kinabalu kini membangun berasaskan wawasan geopark.
2. Semua wilayah ini ialah destinasi pelancongan utama negara dan masih mempromosi produk pelancongan biasa, sama seperti di destinasi pelancongan bukan bertaraf geopark.
3. Saya dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Paradigma Perniagaan berasaskan Geopark’ kepada ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan sebuah syarikat Pelancongan Eco di Langkawi.
4. Sebagai seorang bukan ahli perniagaan, saya mengambil masa untuk memikirkan pendekatan ceramah, akhirnya membuat keputusan untuk menggabungkan idea pembangun strategi dengan pengalaman aktiviti perniagaan yang telah berjaya di dilaksanakan di beberapa global geopark di Asia Pasifik, khususnya di China dan Jepun.
5. Kefahaman mengenai wawasan geopark penting untuk mengatur strategi perniagaan. Pembangunan geopark memberikan perhatian kepada pemuliharaan warisan asli secara terintegrasi, pendidikan awam dan pembangunan ekonomi komuniti setempat.
6. Sambil memilihara warisan geologi dan biologi penting, kita boleh memanfaatkan keindahan landskap untuk menjana ekonomi melalui pelancongan berasaskan ilmu.
7. Perhatian juga perlu diberikan kepada penglibatan optimum komuniti setempat. Semua komponen ini perlu diterjemahkan kepada perniagaan geopark.
8. Dalam pembangunan geopark, tapak atau kawasan bernilai warisan tinggi dikenali sebagai ‘geotapak’. Ia lazimnya mengandungi khazanah bernilai warisan seperti tapak fosil, landskap berpandangan indah, habitat fauna dan flora, serta bentuk landskapnya mempunyai kaitan dengan legenda atau mitos.
9. Geotapak boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan atau geoproduk, tapak rekreasi dan geotrail.
10. Geotapak yang berpandangan indah dan mengandungi lanskap geologi menarik seperti sungai, air terjun, tasik, gua dan puncak bukit sesuai dibangunkan sebagai produk pelancongan berasaskan rekreasi dan ilmu.
11. Dalam geopark ia dikenali sebagai geopelancongan. Kaedah pembangun melibatkan penyediaan kemudahan asas pelancongan dan prasarana pendidikan awam serta rekreasi.
12. Berbeza dengan tapak rekreasi biasa, ia memberi perhatian kepada aspek pendidikan awam mengenai warisan tabii, budaya dan sejarah. Ia boleh dilakukan sama ada secara pembelajaran kendiri atau menyediakan pemandu geopelancongan.
13. Dalam sebuah geotapak atau gabungan beberapa geotapak, pelbagai fitur geologi dan landskap menarik boleh digabungkan melalui sebuah geotrail. Dengan membuat lawatan di beberapa tapak menggunakan geotrail, seluruh cerita geologi (sejarah perkembangan bumi) dapat disampaikan kepada pelancong.
14. Jika terdapat tapak warisan biologi dan budaya sepanjang geotrail ini, ia dapat digabungkan juga bagi menghasilkan cerita hubungan alam dan manusia dengan lebih menarik lagi.
15. Geotrail boleh dilawati dengan berjalan kaki, berbasikal, menggunakan bot atau kenderaan bermotor. Geotrail ialah produk geopelancongan paling berkesan untuk aktiviti pelancongan dalam geopark.
16. Perniagaan geopark tidak boleh dinilai hanya dengan melihat keuntungan wang ringgit sahaja. Kita perlu juga menilai berasaskan impak positif kepada komuniti setempat dan keupayaan memulihara warisan alam.
17. Konsep menang-menang dan faedah bersama perlu dijadikan teras pencapaian perniagaan. Umpamanya, koperasi perniagaan berasaskan komuniti, jumlah ahli komuniti terlibat dalam perniagaan, sebagai pekerja dan pemberi perkhidmatan.
18. Apakah keseluruhan pendapatan mereka bertambah? Pada masa yang sama, tapak warisan sebagai geoproduk kekal terpulihara dan dimanfaatkan secara lestari.
19. Peluang perniagaan dalam geopark sangat besar. Untuk memecah ruyung, kita memerlukan paradigma baharu, pemikiran di luar kotak dan strategi lautan biru.
20. Ilmu sains mengenai sejarah Bumi dan kaitannya dengan evolusi hidupan serta tamadun manusia masih belum diterjemahkan untuk pengetahuan awam.
21. Cerita geologi mengenai landskap berpandangan indah dan pendidikan awam mengenai keunikan warisan terintegrasi masih belum diterokai untuk produk pelancongan.
22. Geoproduk, geotrail dan geopelancongan adalah komponen geopark mempunyai peluang terbuka dalam perniagaan.
IBK 13 Feb 2019