Darurat Kemusnahan Sungai Negara

29nt24ja.transformed_0
Sungai tercemar (nst.com.my)

1. Malaysia bergantung sepenuhnya kepada sumber air permukaan. Oleh kerana kita terletak di kawasan tropika lembab dengan curahan hujan tinggi, negara berasa selesa dengan sumber bekalan air daripada sungai, ditakung ke dalam tasik buatan, diproses dan dibekalkan untuk pelbagai kegunaan.

2. Apabila pembangunan semakin pesat diikuti dengan musim kemarau, negara mulai mengalami gangguan bekalan air. Kita mula mencari air tambahan daripada air tanah hampir permukaan.

3. Anak sungai mendapat bekalan dari air hujan dan mata air di kaki gunung-ganang. Sungai mengalir berasaskan graviti, anak-anak sungai bercantum menjadi sungai dan sungai besar, akhirnya mengalir hingga ke laut.

4. Kuasa aliran sungai bergantung kepada luas lembangan, perbezaan tinggi antara hulu dan muara, dan panjangnya suatu sistem sungai.

5. Sungai Kelantan, Sungai Pahang dan Sungai Perak mempunyai lembangan yang luas, sebesar setiap negeri masing-masing.

6. Sungai ialah sistem tabii yang berupaya menjalankan beberapa fungsi asas. Ia mengalirkan air dari hulu ke lautan, bersamanya ia menghakis permukaan bumi, dan mengangkut lumpur, lodak, pasir dan kerikil.

7. Di kawasan landai, apabila tenaga aliran menjadi lemah, bahan angkutannya diendapkan di dasar sungai. Ketika musim tengkujuh, kuantiti air meningkat dan tenaga aliran menjadi tinggi, sungai akan membanjiri dataran rendah dan mengendapkan bahan angkutannya.

8. Beginilah sungai menjalankan sistem pembersihan lembangan dan menyuburkan dataran limpahnya.

9. Sungai yang besar dapat menjalankan fungsi dengan lebih cekap, sementara sungai kecil berfungsi secara terhad.

10. Bencana pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim adalah seperti ‘puncak ketulan ais dalam lautan’. Banyak sungai kecil berhampiran bandar dan kawasan industri telah tercemar oleh buangan bahan kimia dan kumbahan industri.

11. Sungai bersaiz sederhana seperti Sungai Kelang dan Sungai Langat juga sedang tercemar oleh bahan buangan domestik dan industri.

12. Jelasnya, sebahagian besar sungai bersaiz kecil dan sederhana yang mengalir melalui kawasan perbandaran telah tercemar teruk dan ada yang sudah nazak.

13. Sedihnya dari sungai seperti ini kita mengambil air mentah dan memprosesnya untuk bekalan air minuman.

14. Pendekatan pengurusan sungai semasa nampaknya kurang berkesan. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hanya diberikan mandat untuk memperbaiki sistem perparitan dan mengurus bencana banjir.

15. Sementara Jabatan Alam Sekitar pula hanya akan memantau kualiti air secara berkala atau jika ada aduan. Kedua-dua jabatan ini tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pencemaran.

16. Sungai mengalir tidak mengikut sempadan daerah atau negeri, sedangkan mandat mengurus kebanyakan agensi mengikut fungsi dan sempadan daerah.

17. Masalah sungai kita mengalami pencemaran dan setengahnya sudah tidak dapat menjalankan fungsinya (rosak atau mati) sudah berlaku lama.

18. Sistem pengurusan yang bersifat sektoral jelas telah gagal atau tidak berupaya membendung sungai terus mengalami kerosakan. Kebergantungan tinggi kita kepada sungai sebagai sumber bekalan air mentah merumitkan keadaan.

19. Peristiwa demi peristiwa, sama ada isu pencemaran, bencana banjir dan gangguan bekalan air sepatutnya telah mengajar kita bagaimana cara terbaik untuk mengurus sistem sungai.

20. Sungai sebagai satu sistem tabii yang penting untuk kehidupan perlu difahami oleh semua pihak.

21. Di kebanyakan negara, mereka memberikan perhation serius dengan mewujudkan agensi Pihak Berkuasa Pengurusan Sungai Bersepadu untuk setiap sungai utama ternyata amat berkesan.

22. Sungai yang dahulunya sudah tercemar berjaya dipulihkan. Kita masih belum serius, masih bertarik tali antara satu sama lain, dan masih mengharapkan nasib, satu hari nanti sungai akan pulih seperti dahulu kala.

23. Malaysia memerlukan perubahan set minda untuk mengurus sungai. Kita perlu wujudkan Pihak Berkuasa Pengurusan Sungai bukan hanya untuk mengawal pencemaran atau untuk mengurus bekalan air, tetapi untuk mengurus pembangunan di lembangan sungai secara bersepadu.

24. Badan ini perlu menjaga kepentingan semua pihak, dan diberikan kuasa mengatasi kuasa majlis daerah, pihak pemilik tanah dan agensi pelaksana pembangunan.

25. Dengan menggunakan konsep ‘pengurusan bersama’, badan ini boleh bertindak sebagai pasukan perancang, pemantau dan agensi penguatkuasa.

26. Pencemaran sungai dan kerosakan fungsi sungai sudah sampai tahap kritikal. Jika tidak dibendung dan diurus secara bersepadu, negara bakal berhadapan dengan darurat kemusnahan sungai.

27. Akibatnya kita akan kehilangan sumber bekalan air bersih, bencana banjir dan kemarau bertambah kerap dan kehilangan sumber kehidupan penting seperti tanah yang subur dan sumber keselamatan makanan.

IBK 4 Mei 2019

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s