
1. Institusi Rundingan Meja Bulat Kepelbagaian Biologi Kebangsaan baharu sahaja diwujudkan dan mesyuarat pertamanya dipengerusikan oleh Dr Xavier Jayakumar, Menteri Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) di Putrajaya baru-baru ini.
2. Lima ahli akademik dijemput sebagai pakar sumber bersama 15 ahli lain yang mewakili pelbagai sektor berkepentingan terutamanya agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
3. Majlis Rundingan Meja Bulat ini diwujudkan bagi menasihati Menteri mengenai hala tuju dan strategi melaksanakan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016 – 2025).
4. Dokumen dasar yang dibincangkan berasaskan perspektif perlaksanaan ternyata mempunyai prinsip dan matlamat yang kukuh, jika dilaksanakan sepenuhnya dapat memastikan negara berupaya mengurus sumber asli dengan bijaksana, memulihara warisan kepelbagaian biologi dengan baik, dan mengembangkan industri berasaskan sumber kepelbagaian biologi berdaya saing tinggi.
5. Ternyata, dasar ini masih belum mampu dilaksanakan sepenuhnya kerana beberapa kekangan institusi dan keberanian politik yang masih perlu diatasi.
6. Dasar Kepelbagaian Biologi memberikan penekanan kepada lima matlamat perlaksanaan:
a. memperkasa dan meraih penglibatan semua pihak berkepentingan untuk memulihara kepelbagaian biologi kebangsaan;
b. memastikan negara dapat mengurangkan tekanan, secara langsung atau tidak terhadap kepelbagaian biologi;
c. negara perlu memulihara semua ekosistem, spesies dan kepelbagaian genetik utama daripada sebarang ancaman;
d. memastikan faedah daripada penggunaan sumber kepelbagaian biologi dikongsi secara sama rata; dan
e. kita perlu memperbaiki keupayaan, pengetahuan dan kemahiran semua pihak berkepentingan untuk memulihara kepelbagaian biologi.
7. Isu paling asas bagi memastikan semua matlamat ini dicapai ialah apakah semua pihak telah mengenali sumber kepelbagaian biologi yang perlu dipulihara, dan siapa seharuskan menjadi wira memimpin hasrat murni ini?
8. Walaupun telah banyak inisiatif dilaksanakan untuk memulihara kepelbagaian biologi, daripada perspektif institusi pendekatan paling berkesan ialah melalui Akta Perhutanan Negara 1984 dan penggunaannya melalui enakmen di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
9. Konsep Hutan Simpan Kekal (HSK) dan pembahagian hutan kepada kepelbagaian penggunaan, sama ada sebagai hutan pengeluaran atau hutan pemuliharaan.
10. Berasaskan akta ini juga pelbagai inisiatif pemuliharan dilaksanakan, antaranya Taman Negara, Taman Negeri, Hutan Lipur dan Kawasan Perlindungan Hidupan Liar. Konsep HSK diperkenalkan oleh penjajah bertujuan untuk mengurus hutan dan menggunakan hasil hutan sebagai sumber komoditi.
11. Idea mengenai warisan, pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi adalah sekunder, dan hanya mendapat perhatian kerajaan apabila mendapat tekanan dari dalam dan luar negara.
12. Dalam era Malaysia Baharu, negara perlu meneliti pendekatan sedia ada dan memperkenalkan prespektif baharu dalam mengurus kepelbagaian biologi. Pemeliharaan dan pemuliharaan warisaan tabii perlu diutamakan, diikuti dengan hutan dan kawasan kehijauan sebagai guna tanah untuk perkhidmatan alam sekitar.
13. Pada masa yang sama HSK sebagai sumber komoditi perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas, meliputi keperluan asas, keberkesanan kos, dasar guna tanah negara dan pembangunan alam sekitar.
14. Sebagai seorang ahli Alam Sekitar, Geologi Pemuliharaan dan Sains Kelestarian, pemuliharaan kepelbagaian biologi tidak boleh dilihat daripada perspektif ‘Kepelbagaian Biologi’ semata-mata, dan kurang dikaitkan dengan komponen bersekutu penting yang lain seperti Landskap Tabii berpandangan indah, warisan tabii bernilai kebangsaan atau negeri, dan jaringan warisan budaya dan tabii.
15. Mengambil contoh Landskap Tabii seperti gunung ganang, permatang dan perbukitan, lurah, sungai, air terjun, dataran dan persisiran pantai. Landskap adalah manifestasi proses dalaman (tektonik) dan luaran (luluhawa dan hakisan) yang berlaku sejak jutaan tahun lampau.
16. Bentuk, keunikan dan keindahan landskap ialah warisan kepelbagaian geologi yang menjadi blok binaan kepelbagaian biologi. Pada prinsipnya, ekosistem dan habitat tabii adalah jelmaan daripada ketersediaan landskap geologi.
17. Perhatian perlu diberikan kepada pemikiran warisan tabii sebagai sebahagian daripada warisan budaya bangsa Malaysia. Ia adalah tinggalan penting yang kita warisi dan perlu diwariskan semula kepada anak cucu kita.
18. Usaha mengenal pasti, menciri dan memberi nilai daripada perspektif warisan bertaraf dunia, kebangsaan, negeri dan daerah perlu dilaksanakan segera.
19. Selepas itu, beberapa tindakan proaktif perlu dilaksanakan dengan mewarta semua khazanah bernilai warisan tinggi melalui akta warisan pada peringkat negara, negeri atau daerah.
20. Penamaan tapak warisan boleh pelbagai bergantung kepada nilai dan peranan sesuatu tapak warisan tersebut. Dalam hal ini, banyak yang boleh kita pelajari daripada negara maju mengenai urusan ini.
21. Negara perlu bergerak ke hadapan dengan memberikan perhatian kepada wawasan ‘warisan terintegrasi’ iaitu jaringan antara warisan budaya dan tabii.
22. Dalam keadaan biasa, warisan tabii dan budaya terjalin rapi dan tiada batas pemisah yang jelas. Pemikiran dan keupayaan kita yang terbatas, menyebabkan warisan dibahagi-bahagikan kepada pelbagai sektor dan diurus secara terpisan antara satu sama lain.
23. Walhal, warisan adalah kepercayaan dan iltizam daripada perspektif ‘nilai kesepunyaan’ merentasi batas ilmu. Lazimnya, semua warisan bernilai tinggi mempunyai gabungan kepelbagaian biologi, kepelbagaian geologi, arkeologi, sejarah dan pembangunan tamadun bangsa. Inilah bentuk kepelbagaian yang perlu diwarisi dan diraikan.
24. Mesyuarat Meja Bulat Kepelbagaian Biologi juga meneliti cadangan kerangka strategi mengenai Kepelbagaian Biologi dalam Rancangan Malaysia ke-12.
25. Dalam konteks Pengurusan Sumber Asli, tumpuan bakal diberikan kepada tiga kumpulan terfokus iaitu Sumber Daratan, Sumber Marin dan Sumber Mineral.
26. Pada masa sama, Alam Sekitar mempunyai focus terasing iaitu Pengurusan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air. Pemuliharaan landskap fizikal, ekosistem dan habitat mempunyai hubungan yang erat dengan pengurusan alam sekitar dan sumber air.
27. Perbincangan dan tindakan berasingan tidak mungkin berupaya menyelesaikan isu pemuliharaan dan perkhidmatan alam sekitar, terutamanya kepelbagaian biologi.
28. Akta payung dan tindakan syumul diperlukan bagi memastikan pembangunan alam sekitar dan pemuliharan kepelbagaian biologi dilaksanakan dengan berkesan.
29. Tiga komponen asas pembangunan alam sekitar iaitu pemuliharaan warisan tabii, perkhidmatan alam sekitar dan penggunaan sumber asli secara lestari perlu dilaksanakan secara bersepadu.
IBK 15 Ogos 2019