
1. Setiap akhir Ogos, masyarakat Malaysia menyambut hari kemerdekaan dengan rasa gembira dan bersyukur, akhirnya negara bebas daripada penjajahan Inggeris.
2. Penjajahan bukan semuanya buruk, lihat sahaja pembangunan sedia ada, sebahagiannya dibina berpandukan dasar dan keupayaan penjajah.
3. Merdeka sebetulnya hanya pemindahan kepimpinan dari kerajaan Inggeris kepada pemimpin watan yang perlu mengurus negara berpegang kepada Perlembagaan Negara.
4. Pada hari kemerdekaan, saya baru berusia 5 tahun dan tidak memahami apa itu merdeka? Saya masih ingat, kami diberikan bendera Semenanjung Tanah Melayu, dan mengibarkan sepanjang jalan ketika para pemimpin melalui jalan di pekan Jementah, tempat saya dilahirkan.
5. Sejak itu, saya dibesarkan dalam konteks negara baharu yang merdeka, dihantar ke Sekolah Rendah Kebangsaan, seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan dan ke Universiti Kebangsaan (UKM).
6. Sekembalinya dari University of Strathclyde, Glasgow dengan ijazah Doktor Falsafah (PhD), saya terus berkerja di UKM sebagai pensyarah, profesor madya sehingga menjadi profesor kanan.
7. Hidup dan aspirasi saya amat terikat dengan perkembangan sebuah negara bangsa yang baru sahaja bebas daripada cengkaman penjajahan dan berusaha melakar wawasan kemerdekaan.
8. Tahun ini kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-63. Jika diukur daripada perspektif kehidupan manusia, Malaysia telah menjadi dewasa dalam kemerdekaan dan tentunya sudah boleh dilaporkan kejayaan yang telah dicapai.
9. Apakah kita setakat lulus sahaja, atau berjaya dengan cemerlang untuk mengisi kemerdekaan? Atau sebaliknya gagal merealisasikan aspirasi bangsa yang memperjuangkan kemerdekaan! Ini persoalan besar yang sering menghantui fikiran ketika kita menyambut Hari Merdeka.
10. Kita tidak boleh nafikan beberapa pencapaian besar selepas negara mencapai kemerdekaan. Antaranya ialah Dasar Ekonomi Baharu yang memberikan penekanan kepada pendidikan untuk semua warga watan.
11. Kini, sumber insan ikhtisas, teknokrat dan ilmuan kelihatan seimbang antara bumiputra dan bukan bumiputra. Kejayaan lain meliputi pembukaan tanah Felda untuk masyarakat luar bandar yang tiada pekerjaan; penubuhan Petronas untuk pengurus sumber minyak dan gas; dan pembangunan teknologi watan melalui pewujudan Proton.
12. Begitupun, masih banyak inisiatif yang baik tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana kelemahan pengurusan atau campur tangan politik secara berlebihan.
13. Di luar kemampuan saya untuk mengupas persoalan besar ini, tetapi izinkan saya menjelaskan kedudukan negara daripada perspektif tindakan kelestarian.
14. Tindakan kelestarian melampaui hasrat dan perancangan ke arah kelestarian, ia melibatkan usaha dan tindakan di semua peringkat masyarakat dan kepimpinan untuk memenuhi aspirasi menjadi sebuah negara yang makmur, kesejahteraan masyarakat terpelihara, dan alam sekitarnya dihargai dan dihormati.
15. Kemerdekaan membolehkan anak watan merancang dan mentadbir negara sendiri ke arah kelestarian.
16. Tiga perkara pokok dalam isu tindakan kelestarian ialah kemakmuran negara, kesejahteraan sosial dan perkhidmatan alam sekitar.
17. Mari kita teliti tiga perkara pokok ini daripada perspektif awam. Dalam konteks kemakmuran negara, tidak dapat dinafikan ekonomi berkembang, daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan industri dan perkhidmatan.
18. Dalam konteks makro, mungkin kita telah berjaya dengan cemerlang, tetapi kelestarian ekonomi memberikan perhatian kepada isu ekonomi rakyat, agehan seksama, membasmi kemiskinan, industri watan dan pembangunan mesra alam. Bagaimana agaknya, kedudukan kita mengenai tindakan ke arah kelestarian ekonomi?
19. Kesejahteraan sosial berkait rapat dengan kemudahan yang disediakan bagi memastikan warga negara berasa selamat dan mempunyai kebebasan menjalankan tugas harian.
20. Dalam konteks yang biasa, kemudahan asas yang diperlukan ialah peluang pekerjaan, tempat tinggal, bekalan air dan elektrik, serta sistem perhubungan yang cekap.
21. Berikutnya, mereka mengharapkan sistem pendidikan yang baik dan kemudahan awam yang selamat. Malaysia boleh berbangga, aspek kemudahan awam untuk semua sudah hampir dicapai walaupun masih terdapat kekurangan di kawasan luar bandar dan isu kualiti perkhidmatan yang masih perlu di atasi.
22. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan mengamalkan dasar terbuka, masih berhadapan dengan beberapa isu kritikal iaitu perpaduan, keselamatan awam dan urus tadbir cekap.
23. Dalam konteks perpaduan kaum, rasa curiga dan kurang percaya antara kaum semakin melebar, dan isu ini tidak mampu di atasi akibat sistem pendidikan yang kurang memberikan perkatian kepada pembinaan ‘negara bangsa’, di tambah dengan sistem kepartian yang berteraskan kaum.
24. Warga negara watan pula merasakan kedudukan mereka semakin tergugat, serta pengaruh politik dan ekonominya semakin berkurangan. Lebih menyedihkan lagi, gejala paling kotor dalam urus tadbir negara iaitu rasuah dan salah guna kuasa dilaporkan dalam keadaan yang membimbangkan.
25. Perkara ketiga ialah perkhidmatan alam sekitar. Isu ini terus terpinggir dan masyarakat serta kepimpinan negara masih berpendapat keupayaan alam sekitar masih tinggi dan ia tidak mungkin menggugat kesejahteraan masyarakat.
26. Negara masih menggunakan dasar penjajah dalam mengurus alam sekitar iaitu ‘alam sekitar ialah sumber asli untuk dieksploitasi bagi menjana kekayaan.
27. Dasar eksploitasi bagi mereka tepat, kerana mereka menjajah untuk mendapatkan sumber asli dan meraih kekayaan. Bagi kita, ini adalah tanah air, tanah tumpah darah, dan negara untuk membina tamadun serta membesarkan cucu kita.
28. Dasar alam sekitar atau sumber asli seharusnya berbeza, dan penegasan perlu diberikan kepada ‘alam sekitar memberi perkhidmatan kepada warga’ – menyediakan udara bersih, membekalkan air bersih, dan sumber bumi untuk keperluan pembangunan dalam negara.
29. Pengurusan sumber asli perlu memberikan tumpuan utama kepada isu perkhidmatan alam sekitar. Pemuliharaan hutan adalah bagi memastikan ia mampu membekalkan oksigen, menapis pencemaran udara dan menyediakan bekalan air bersih secara berterusan.
30. Oleh itu, konsep pengurusan Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu memberikan perhatian kepada perkhidmatan alam sekitar, dan lebihannya sebagai hutan pengeluaran atau pertanian hutan. Pemetaan semula daripada perspektif hutan perkhidmatan, hutan warisan dan hutan pengeluaran diperlukan.
31. Sumber bumi, khususnya sumber mineral, batuan dan landskap perlu mempunyai dasar baharu yang memberikan penekanan kepada isu perkhidmatan alam sekitar.
32. Sumber bumi ialah sumber yang tidak boleh diperbaharui, dan apabila diterokai secara berlebihan akan kehabisan buat selama-lamanya. Pengurusan sumber bumi perlu di lihat daripada perspektif baharu.
33. Pemikiran mengurus sumber bumi perlu mengambilkira peberapa isu asas iaitu kelimpahan (banyak atau sedikit kehadiran sumber), kesesuaian penggunaan, kaedah eksploitasi dan penggunaan dalam negara. Apa yang berlaku sekarang iaitu sumber bumi untuk dieksport bagi menjana kekayaan segera merupakan tindakan terakhir untuk dilakukan.
34. Malaysia telah beriltizam bersama negara dunia lain untuk melaksanakan Agenda 2030 iaitu mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
35. Pelbagai dasar dan perancangan telah diperkenalkan, begitupun tindakan kelestarian pada pelbagai peringkat tadbir urus dan perlaksanaan masih belum mampu dibudayakan. Isu ketidaklestarian, khususnya berkaitan kesejahteraan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar masih pada tahap kritikal dan menggugat kesihatan serta keselamatan awam.
36. Apa ertinya kemerdekaan jika perkara paling asas iaitu kelestarian tanah air dan warganya kurang diberikan perhatian.
IBK@26 Ogos 2020