Tamadun Melayu Antarabangsa

Majlis Pelancaran Tamadun Melayu Johor oleh YAB MB Johor

1. Johor mendahului negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu memperkenalkan Pelan Induk Johor sebagai Tamadun Melayu Antarabangsa. Syabas Menteri Besar Johor YAB Datuk Hasni Mohammad yang berpandangan jauh melancarkan pelan induk secara gilang gemilang pada 8 Oktober 2020 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor

2. Peristiwa bersejarah ini adalah amalan kerajaan bertamadun yang perlu diteladani oleh negeri lain di Malaysia. Tamadun Melayu berkembang pesat di rantau ini sejak abad ke-16 di bawah empayar kesultanan Kerajaan Johor Lama.

3. Hari ini bangsa Melayu sebagai penduduk watan di Malaysia dan negara jiran di Asia Tenggara sudah hampir melupakan sejarah kegemilangan bangsanya dan menganggap ia sekadar tinggalan sejarah dalam mengharungi arus globalisasi yang dipelopori oleh dunia barat.

4. Apa yang tinggal hanya sekadar cerita sejarah dan budaya yang diterjemahkan kepada produk pelancongan. Sebarang usaha memperkasa tamadun dianggap sebagai usaha ketinggalan zaman.

5. Pelan Tamadun Melayu ini berhasrat meletakan warisan dan kebijaksanaan pada tempat asalnya. Ia bukan sekadar dimiliki oleh bangsa Melayu, tetapi asas jatidiri dan keistimewaan suatu bangsa besar dunia.

6. Komponen tamadun Melayu sewajarnya dijadikan nilai bersama dalam membentuk budaya kebangsaan sebuah negara bangsa yang warganya berbilang kaum dan berlainan kepercayaan.

7. Pemimpin di Malaysia dan rantau nusantara perlu beriltizam mengembalikan semula kedudukan mutiara yang berdaulat ini.

8. Pelan Tamadun Melayu Antarabangsa ini dikembangkan berdasarkan pendekatan holistik, mengambilkira unsur budaya dan amalan melalui titian sejarah dan perkembangan masa hadapan suatu bangsa istimewa.

9. Empat teras stratagi asas iaitu Institusi Islam dan Kesultanan; Kepimpinan Melayu; Warisan Budaya; dan Bahasa dan Persuratan perlu terus diperkasa.

10. Bagi memastikan ia terus relevan, lima teras pengerak iaitu Ekonomi; Pelancongan Warisan dan Budaya; Pendidikan dan Pengislihan Awam; Pustaka Warisan Digital; dan Iltizam Politik perlu dikembangkan secara berterusan.

11. Pelan ini dilaksanakan secara berterusan dengan memperkenalkan 12 Projek Berjenama. Warga Johor pastinya berharap projek berjenama ini disokong dengan dana mencukupi dan dilaksanakan oleh pemimpin berwibawa.

12. Projek berjenama tidak sahaja memberikan perhatian kepada beberapa komponen tradisi seperti budaya, kesenian, bahasa dan persuratan, tetapi menjangkau jauh kepada amalan ilmuwan seperti Kursi Sarjana; Intelek Awam; Kesarjanaan dan Warisan Alami.

13. Seorang pemikir tersohor dalam bidang tamadun dan kebudayaan perlu dilantik menyandang Kursi Tamadun Melayu di sebuah universiti terkemuka negara. Calon perlu terus memimpin pemikiran kritis bagi meletakkan kerelavanan alam dan keilmuan Melayu setanding dengan tamadun besar dunia.

14. Penyelidikan, dialog dan pemindahan ilmu secara berterusan penting bagi memastikan kepentingan tamadun Melayu sentiasa dihargai dan menjadi panduan bangsa Malaysia bergerak ke masa hadapan yang penuh cabaran.

15. Intelek awam ialah golongan yang berusaha memindah ilmu dan pengalaman kepada masyarakat awam. Hari ini, negara ketandusan kelompok ini dan jika adapun suaranya kurang kedengaran.

16. Para sejarawan dan budayan mempunyai peranan penting untuk menyampaikan maklumat mengenai sejarah, budaya dan tamadun kepada masyarakat awam, terutamanya kepada pelajar sekolah dan golongan remaja.

17. Begitupun, tamadun bukan sekadar sejarah dan budaya, tetapi meliputi perkembangan ilmu watan termasuk ilmu pelbagai bidang seperti Sains Tabii, Teknologi, Perdagangan dan Sains Kemasyarakatan.

18. Intelek Awam sebagai suara ketiga, penting untuk menyampaikan maklumat tepat dan terkini bagi pengaruh dasar dan menambahbaik perlaksanaan untuk kepentingan awam.

19. Kegemilangan Tamadun Melayu dalam pelbagai bidang banyak disumbangkan oleh ramai ilmuwan berwibawa. Tambahan pula, kemajuan dan kegembilangan Johor didokong oleh sistem pendidikan moden dan sistem pendidikan agama.

20. Oleh itu projek berjenama Sarjana Johor berhasrat mengiktiraf sumbangan tokoh Johor dalam pelbagai bidang ilmu. Pada masa ini, beberapa bidang seperti agama, sastera, media, sosial, usahawan dan pendidik telah diberikan pengiktirafan.

21. Usaha ini perlu dikembangkan kepada bidang lain seperti sains, teknologi, inovasi, perundangan, sejarah, budaya, wanita dan remaja. Pengiktirafan kesarjanaan dan sumbangan adalah amalan asas dalam meraikan ketamadunan.

22. Manusia, budaya dan alam adalah satu rantaian pembinaan tamadun yang amat erat ikatannya. Warisan bukan sekadar sesuatu binaan manusia, tetapi meliputi keunikan dan keindahan alam anugerah Ilahi.

23. Projek berjenama Warisan Alami Johor adalah pemikiran terkehadapan dalam pembangunan tamadun. Johor memilik banyak warisan alami seperti landskap berpandangan indah, tapak warisan geologi dan kepelbagaian biologi.

24. Sebahagian besar daripada warisan alami telah rosak atau musnah akibat proses pembangunan. Banyak juga warisan kepelbagaian biologi telah pupus kerana habitatnya terganggu.

25. Beberapa warisan alami seperti Gunung Ledang, Kepulauan Mersing, Tapak Ramsar Sungai Pulau, Sungai Johor, Gunung Panti dan Hutan Endau Rompin bukan sahaja kaya dengan warisan alami, tetapi juga mempunyai nilai sejarah kehidupan masyarakat Johor yang gembilang.

26. Pengertian tamadun perlu diperluaskan kepada ekosistem alami kehidupan bangsa Melayu itu sendiri.

27. Saya bertuah dijemput menjadi Ketua Pasukan Pengubal bagi menyediakan Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa yang baru sahaja dilancarkan ini.

28. Rakan-rakan dalam pelbagai bidang ilmu dari UKM, UPM, USM dan UTM yang bersama dalam menyediakan pelan ini adalah ilmuwan yang berjiwa besar dan bersama menyumbang kepada penyediaan dokumen penting ini.

29. Kami juga tidak bersendirian, pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan agensi kerajaan dan warga Johor dijemput untuk membuat ulasan dan teguran sehingga dokumen ini dapat dimuktamadkan.

30. Pelan ini adalah pelan untuk seluruh seluruh warga Johor dan bangsa Melayu di negara tercinta ini.

31. Kami mendoakan, pelan ini diberikan perhatian tinggi dan dilaksanakan sebaiknya oleh kepimpinan Johor. Bulat air kerana pembentung, bulat bangsa kerana maufakatnya.

IBK@ 10 Oktober 2020

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s