Sungai Nadi Kehidupan Manusia

1. Sungai adalah landskap alam pelbagai wajah dan fungsi. Sejak awal kehidupan manusia, sungai telah menjadi komponen penting dalam kehidupan seharian. Dataran limpah (banjir) sungai ialah kawasan rata yang subur, ia dijadikan tapak perumahan dan kawasan pertanian.

2. Sungai menghubungi tempat ke tempat dengan menggunakan sampan atau rakit, orang dahulu gunakan sungai sebagai sistem jalan utama. Mereka menangkap ikan dan hidupan dalam sungai sebagai makanan untuk sumber protein. 

3. Air sungai juga sebagai bekalan air bersih untuk minum, mandi, membasuh pakaian dan untuk bertani. Masyarakat tradisi, bergantung hidup kepada sungai, mereka menghormati sungai dan mempunyai sistem adat untuk memulihara sungai. Tiada sungai, tiada kehidupan.

4. Masyarakat moden kurang mengenali sungai, ada yang jarang melihat sungai, walaupun selalu melalui jambatan untuk menyeberangi sungai. Mereka dapatkan air dari paip, membeli ikan dari pasar, dan menggunakan jalan raya untuk berhubung.

5. Kononnya, sungai sudah tidak penting untuk kehidupan manusia. Ramai yang kurang sedar, air paip datangnya dari sungai dan ikan di pasar juga ditangkap dari sungai atau laut. 

6. Sebahagian besar manusia menjadikan sungai tempat membuang sampah sarap, ada yang membenci sungai kerana air sungai sering membanjiri kawasan perumahan dan tanah pertanian mereka.

7. Sungai merupakan landskap tabii binaan Ilahi yang paling penting untuk memberikan perkhidmatan kepada manusia dan hidupan di mukabumi ini. 

8. Pada masa yang sama, sungai melalui proses perubahan yang sangat dinamik, dapat dilihat dalam jangka masa kehidupan manusia. 

9. Orang dahulu mengenali sifat sungai begini, mereka mempunyai perumpaan yang menyebut ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. 10. Di samping menyediakan bekalan air, sekali sekala ia membawa bencana sehingga meragut nyawa dan memusnah harta benda. Kuasa sungai bergantung kepada curahan hujan dan keupayaan alur sungai mengalirkan air berserta bahan sedimen di dalamnya. 

11. Bayangkan, jika anda berada di kawasan pergunungan, melihat lurah dalam yang disaliri oleh sungai, sebetulnya lurah tersebut adalah hasil hakisan sungai yang sentiasa mendalami alurnya tanpa berhenti.

12. Sungai secara tabiinya, mewakili sebuah lembangan yang mempunyai 4 bahagian utama iaitu hulu (kawasan hakisan); kaki bukit (kawasan pengangkutan bahan hakisan); hilir (kawasan pengendapan sedimen); dan delta (kawasan pengendapan dan pertemuan antara daratan dan laut). 

13. Keempat bahagian ini mempunyai hubungan rapat, dan bahagian yang satu akan mempengaruhi yang lain. 

14. Lembangan Sungai Gombak dan Kelang menghubungi daerah Gombak, Wilayah Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Sungai ini mencorakkan topografi, kesesuaian untuk pertempatan dan pertanian, bencana alam dan sumber air dalam sebuah lembangan.

15. Di kawasan hulu, semasa hujan yang lebat dengan aliran yang deras, sungai berupaya menghakis dan mengangkut bahan sedimen (bongkah, kerikil, pasir dan lodak) ke kaki bukit. Sekali sekala, cerun di tebing lembah menjadi tidak stabil dan runtuh, bahan runtuhan ini juga akan diangkut oleh sungai dan di bawa ke hilir. 

16. Dalam keadaan normal, kuasa pengangkutan air sungai berkurangan, bongkah diendapkan di kaki bukit, kerikil dan pasir di angkut lebih jauh dan diendapkan di hilir, sementara bahan lodak (yang menyebabkan warna air seperti teh tarik) terampai dalam air berupaya di angkut hingga ke laut.

17. Anda yang biasa beriadah di hulu Sungai Gombak dapat melihat bongkah granit yang besar dalam alur sungai. Bongkah ini adalah hasil runtuhan cerun, aliran debris dan bahan angkutan sungai ketika musim hujan.

18. Jika diperhatikan di dalam air yang jernih, anda dapat perhatikan kerikil dan pasir sentiasa bergerak di bawa aliran air. 

19. Keseluruhan kawasan rendah Kuala Lumpur ialah dataran banjir. Setiap kali musim banjir, air sungai melimpahi tebing dan pasir serta lodak dienapkan lapisan demi lapisan. Jika rumah anda mengalami banjir, anda dan rumah anda sebetulnya menjadi sebahagian daripada proses perubahan sungai. 

20. Masyarakat dahulu lebih bijak apabila membuat rumah di atas tiang dan sentiasa bersedia menghadapi banjir.

21. Di muara, pasir dan lumpur diendapkan dengan banyak membentuk beting dan pantai baharu. Jika arus laut kuat, sebahagian daripada longgokan sedimen di muara sungai di angkut ke laut dan dienapkan di sepanjang pantai atau dasar laut. 

22.  Sungai tidak sahaja menjadi sistem saliran yang baik, menyalurkan air dari gunung ke lautan, tetapi menjadi sistem mengangkut bahan sedimen (termasuk sampah sarap) sepanjang alurnya. 

23. Butiran tanah dari gunung dienapkan pada dataran banjir menjadi tanah yang subur untuk bercucuk tanam. Bahan organan yang di angkut hingga ke laut menjadi sumber makanan hidupan laut.

24. Sungai adalah satu sistem tabii yang sangat berkesan, ia hanya menggunakan graviti untuk menjalankan fungsinya tanpa berhenti dan berkesudahan. 

25. Kehidupan manusia bergantung kepada sungai, ia membekalkan air bersih untuk minuman; menyediakan tanah yang subur untuk memastikan keselamatan makanan; dan menjadi sistem kumbahan, mengangkut sisa organan ke laut. 

26. Sungai juga membekalkan air untuk pertanian, kuasa elektrik-hidro, membekalkan pasir untuk pembinaan dan sistem pengangkutan di kawasan pendalaman.

27. Setiap sungai mempunyai kelakuan tersendiri, keterbatasan atau keupayaan tampungan tersendiri untuk menjalankan fungsinya dengan cekap. 

28. Keupayaan sungai banyak bergantung kepada luas lembangan, panjang sungai, curahan hujan dan perbezaan ketinggian sepanjang profil memanjangnya. 

29. Selain daripada proses ekstrem seperti tanah runtuh dan aliran debris di bahagian hulu sungai, dan fenomena banjir di bahagian pertengahan dan hilir, proses sungai boleh diramal dan dimanfaatkan.

 30. Hanya perubahan besar pada sungai seperti membina empangan, pengambil pasir berlebihan, membuang sampah berlebihan, kelakuan sungai akan berubah, fungsinya boleh terjejas, dan kelakuannya juga turut berubah.

31. Sungai ialah nadi kehidupan manusia. Jika orang dahulu memahami kepentingan sungai kerana bergantung hidup dengan sungai, masyarakat hari ini sudah terpisah dengan sungai kerana keperluan harian mereka telah dipermudahkan. 

32. Walhal, fungsi dan perkhidmatan sungai kepada manusia tetap sama. Peristiwa banjir, sungai tercemar dan putusnya bekalan air sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat betapa pentingnya sungai bagi kehidupan kita. 

33. Pengurusan bersifat sektoral pada masa ini tidak dapat menyelesaikan isu kehidupan berkaitan sungai. Pengurusan lembangan sungai bersepadu mungkin cara terbaik mengatasi isu rentas sektor.


IBK@21 Nov 2020

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s