Melombong Unsur Nadir Bumi

Landskap Berpandangan Indah, Zhangye China

1. Dengan mendapat pendidikan Sarjanamuda dalam bidang Geologi dan PhD dalam Kejuruteraan Perlombongan, seharusnya saya teruja dengan pengumuman oleh Menteri Besar Kedah mengenai jumpaan dan pengumuman eksplorasi sumber Unsur Nadir Bumi (UNB) yang dikhabarkan bernilai RM62 bilion. 

2. Begitupun, kerisauan saya mengatasi kegembiraan. Banyak maklumat teknikal dan kefahaman asas masih diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat dasar dan strategi penerokaan, dan seterusnya aktiviti perlombongan.

3. Tidak dapat dinafikan, Unsur Nadir Bumi adalah sumber bumi penting dan diperlukan untuk pembangunan pelbagai teknologi tinggi, khususnya teknologi berasaskan elektronik seperti industri aeroangkasa, tenaga keterbaharuan, laser, komputer, telefon pintar dan pelbagai komponen teknologi digital. 

4. Pendek kata, inilah sumber bumi baharu dalam perkembangan tamadun manusia yang dapat mengorak langkah ke masa hadapan.

5. Pada masa ini lebih 90% perlombongan sumber UNB berlaku di China walaupun taburannya boleh dijumpai di Amerika Syarikat, Russia, Australia, Canada, India, Amerika Selatan, Afghanistan, Egypt, Brazil, Afrika Selatan dan juga Malaysia. 

6. Monopoli China kepada sumber ini berkait rapat dengan kekangan teknologi perlombongan dan kawalan penjualan UNB kepada masyarakat dunia. 

7. China pernah mengurangkan kuota penjualan bagi mempertahankan kelebihan bersaing, tetapi usaha ini kurang disenangi oleh negara industri, terutamanya Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun.

8. Isu sebenar ialah keupayaan melombong yang dapat memberikan keberkesanan kos. Berbeza dengan perlombongan logam lain seperti besi, timah, tembaga, perak dan emas, kehadirannya dalam satu unit isipadu batuan berbijih sangat tinggi. 

9. Jika kawasan yang mengandungi mineral telah dikenalpasti, perlombongan tidak melibatkan penggalian pada kawasan yang luas, oleh itu keberkesanan kos boleh sangat tinggi. 

10. Bersesuaian dengan namanya, Unsur Nadir atau langka, kandungannya dalam satu unit batuan adalah sedikit. Jika kita dapat menentukan kawasan berbijih sekalipun, taburannya hanya sekitar 5 hingga 10% daripada isipadu bijih. 

11. Sehingga kini hanya China mempunyai keupayaan melombong UNB dan memperolehi keuntungan.

12. Berikut ialah beberapa perkara dasar yang perlu pertimbangan serius sebelum negara berkecimpung dalam aktiviti perlombongan UNB ini:

13. UNB ialah sumber bumi yang tidak boleh diperbaharui dan berpotensi menjadi produk industri berteknologi tinggi untuk masa depan. Jika negara masih belum membangunkan teknologi hiliran, khususnya pemprosesan dan pembikinan produk berteknologi tinggi, penjualan bijih mentah ke negara maju adalah tindakan yang kurang bijak. 

14. Pada ketika kita telah berupaya membangun teknologi watan, negara sudah kehabisan sumber dan akan bernasib baik jika dibenarkan membeli dari negara luar. Strategi menyimpan sebahagian daripada sumber strategik untuk masa depan negara seharusnya menjadi pertimbangan utama apabila berhadapan dengan sumber bumi yang tidak boleh diperbabarui.

15. Negara perlu memberikan perhatian tinggi kepada guna tanah semasa dan merancang keperluan pembangunan di masa hadapan. Selain daripada kawasan perbandaran dan industri, sebahagian besar daripada guna tanah ialah kawasan pertanian dan hutan hujan tropika. 

16. Perlombongan UNB memerlukan kawasan yang luas, dan ini pastikan akan bertembung dengan konfliks guna tanah semasa, khususnya kawasan pertempatan atau perkampungan, kawasan pertanian untuk keselamatan makanan, dan hutan yang menyediakan perkhidmatan alam sekitar. 

17. Malaysia ialah sebuah negara kecil, tidak banyak kawasan terbiar seperti kawasan gersang atau padang pasir yang sesuai untuk pembangunan perlombongan secara besar-besaran.

18.  Negara masih mempunyai ruang untuk merancang aktiviti perlombongan dan pengkuarian, khususnya keperluan sumber bumi untuk industri pembinaan dan pembuatan. Perlombongan bawah tanah dan lombong terbuka pada zon perlombongan yang telah dikenalpasti perlu diteruskan. 

19. UNB lazimnya tertabur meluas di kawasan tanah terluluhawa berhampiran permukaan. Kita perlu mengimbau kembali ketika negara dihantui oleh tragedi lombong bauksit di Kuantan yang mencemar alam sekitar dan menganggu kesejahteraan sosial. 

20. Berbeza dengan negara bersaiz besar dengan kawasan gersang dan terbiar yang lusa, negara kita bersaiz kecil dengan kawasan untuk aktiviti perlombongan terhad. Perlombongan yang bersifat mengikis tanah permukaan secara meluas pastinya kurang bersesuaian dan boleh membawa mudarat jangka panjang.

21. Pemikiran perlombongan tradisi iaitu pelaburan oleh penjajah dan bijih mentah terus dijual kepada negara luar sudah tidak sesuai bagi negara merdeka. Keuntungan untuk pengusaha dan cukai untuk kerajaan tidak mendatangkan faedah secara jangka panjang. 

22. Perlombongan moden perlu memberikan perhatian kepada kemakmuran komuniti setempat, ekonomi negeri dan nilai tambah dalam keupayaan teknologi negara. Dasar perkongsian pendapatan perlu diagih secara seksama kepada penduduk setempat, kerajaan negeri dan persekutuan. Industri perlombongan bukan sekadar menjual komoditi, tetapi perlu dilihat sebagai satu rantaian aktiviti huluan untuk keperluan industri hiliran.

23. Isu paling asas dalam aktiviti perlombongan ialah kerosakan dan pencemaran alam sekitar. Perlombongan UNB di China telah menunjukkan isu alam sekitar menjadi rumit dan impak kepada kesejahteraan masyarakat berlarutan dan masih tiada jalan penyelesaian. 

24. Malaysia juga masih berhadapan dengan kerosakan alam sekitar akibat aktiviti perlombongan yang sudah tidak beroperasi puluhan tahun lamanya. Dalam konteks ini, kajian impak sosial dan alam sekitar perlu dilakukan secara telus serta tidak berpihak kepada pengusaha perlombongan.

25. Huraian ini tidak bererti kita perlu menutup peluang untuk membangun sumber UNB, tetapi perlu dilaksanakan dengan perancangan teliti dan tindakan bermaklum. Kita perlu meneroka potensi UNB negara, menjalankan eksplorasi bagi menentukan taburan, kualiti dan kuantiti sebaik mungkin. 

26. Berikutnya, barulah disediakan dasar perlombongan dan penggunaan sumber bumi secara lestari. Negara mempunyai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang telah diberikan mandat untuk merancang, meneroka, menilai dan mencadangkan kepada kerajaan negeri mengenai potensi dan pendekatan pembangunan sumber mineral untuk faedah bersama. Kepakaran ini perlu dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat dan kekayaan negara.

IBK@3 Disember 2020

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s