Banjir Besar di Malaysia

Lukisan: Sungai Pahang yang sering mengalami Banjir Sungai

1. Akademi Profesor Malaysia dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia berjaya menganjurkan Webinar berjudul ‘Banjir Besar – Antara Fenomena Tabii dan Bencana Cetusan Manusia’. 

2. Ahli panel yang dijemput ialah Dato’ Md Nasir Md Noh, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM); Ir. Hishad Mohameed, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); dan Prof Ibrahim Komoo, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM). 

3. Webinar ini dimudahcara oleh Prof. Edy Tonnizam Mohamad, Pengarah, Institut Penyelidikan Geokejuruteraan (GEOTROPIK) dengan lebih 350 peserta mengambil bahagian. Webinar merupakan normal baharu Covid-19 bagi membincangkan agenda kebangsaan bagi kepentingan masyarakat.

4. Webinar ini dianjurkan bagi mengupas persepsi awam mengenai punca banjir besar adalah disebabkan oleh kerja pembersihan tanah dan pembalakan yang tidak terkawal dan beranggapan kerajaan kurang memberikan perhatian kepada perancangan dan tindakan untuk mengurangkan risiko bencana banjir. 

5. Apakah persepsi ini benar? Atau sebetulnya ada beberapa faktor lebih penting yang kita terlepas pandang.

6. Saya tertarik dengan penjelasan Ketua Pengarah NAHRIM mengenai pelbagai penyelidikan yang berkaitan dengan pengurusan sumber air, termasuk fenomena banjir besar. Sebahagian daripada dapatan penting telah dimasukkan dalam dasar pembangunan negara, sementara yang lainnya masih dalam domain penyelidikan dan pembangunan. 

7. NAHRIM melihat isu banjir daripada perspektif pengurusan air secara terintegrasi. Air sebagai sumber utama kehidupan termasuk keperluan untuk industri, pertanian, domestik dan kejadian banjir perlu dilihat sebagai kesatuan yang saling berhubungan.

8. Ini termasuk sumber air, simpanan, pengurusan kualiti dan bekalan kepada semua pihak. Perubahan iklim telah mengubah fenomena berkaitan air, termasuk kenaikan paras laut, musim kemarau yang lebih ketara dan curahan hujan yang lebih ekstrem, dan bagaimana semua aspek ini perlu diambilkira dalam pengurusan air dan pengurangan risiko bencana banjir.

9. Timbalan Ketua Pengarah JPS telah memberikan banyak maklumat penting mengenai tindakan yang telah diambil dan keberkesanannya. Malangnya, maklumat ini tidak sampai kepada masyarakat awam atau mungkin kurang diberikan perhatian oleh mereka. 

10. Umpamanya, maklumat mengenai peta risiko bencana banjir atau paras dasar untuk membina bangunan bagi mengelakkan banjir. Beliau juga tidak menafikan kekangan kewangan dan ruang, khususnya di kawasan bandar turut merencat rancangan tebatan banjir. 

11. Suatu yang menarik katanya, ‘Sungai Kelang jarang melimpah di tebingnya, tetapi banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur adalah melibatkan sistem perparitan yang tersumbat dengan sampah sarap atau tidak diselenggara dengan sempurna’. 

12. Banjir kilat di kawasan bandar berlaku dengan pantas hanya beberapa jam selepas hujan lebat, jika mesyuarakat peka terhadap fenomena ini, banyak harta dapat diselamatkan. Pastinya, sistem amaran awal yang baik berkaitan banjir kilat dapat mengurangkan kerosakan harta awam.

13. Saya memberikan pandangan mengenai banjir dan pentingnya meningkatkan pengetahuan awam mengenai fenomena dan risiko bencana banjir. 

14. Masyarakat perlu mempunyai kefahaman mengenai sistem sungai, lembangan dan fungsi yang dimainkan oleh landskap tabii ini. Setiap lembangan respons dengan cara berbeza apabila berhadapan dengan fenomena banjir. 

15. Jangan salahkan hujan lebat kerana kita berada di rantau tropika lembab. Malaysia berhadapan dengan musim tengkujuh di mana Pantai Timur, Sabah dan Sarawak berhadapan dengan hujan berpanjangan pada bulan Disember hingga Februari. 

16. Masyarakat perlu mengenali kelakuan sungai, khususnya kejadian banjir di wilayah atau kawasan tempat tinggal mereka. Jika rekod banjir lampau dianalisis dan ditafsir, kesediaan berhadapan dengan banjir akan datang lebih baik.

17. Separuh daripada penyelesaian banjir terletak di tangan individu dan komuniti, bukan pada agensi kerajaan. Kita mempunyai pilihan untuk memilih tempat tinggal, melakukan aktiviti di kawasan dataran banjir, atau memilih rekabentuk rumah kediaman. 

18. Jika pendidikan mengenai bencana alam diberikan kepada setiap warga, isu bencana banjir pasti boleh diatasi.

19. Banjir tahunan adalah peristiwa biasa. Setiap musim tengkujuh, air sungai akan naik melimpahi tebingnya. Semua prasarana yang dibina lebih rendah daripada tebing sungai akan tenggelam. 

20. Bagi masyarakat tradisi, musim banjir disambut dengan pesta dan kesyukuran, tetapi masyarakat moden akan merana setiap kali berlaku banjir. Apa yang perlu difahami ialah perbezaan antara peristiwa banjir dan bencana banjir. 

21. Bencana banjir mungkin berlaku secara berkala, setiap 10 hingga 15 tahun sekali, di mana air banjir boleh naik beberapa meter hingga menyebabkan banyak tempat kediaman tenggelam. 

22. Kadang kala berlaku banjir besar dengan kuasa aliran air yang tinggi. Ia boleh memusnahkan apa sahaja di sepanjang laluannya. Banjir begini lazimnya berkaitan dengan kejadian tanah runtuh, aliran debris dan hakisan tebing menyebabkan air banjir mengandungi banyak debris (batu batan dan kayu kayan) sehingga menyebabkan bencana yang berupaya meragut nyawa dan memusnah harta benda.

23. Impak banjir besar sering dikaitkan dengan isu penebangan hutan dan pembersihan kawasan di dalam lembangan sungai.

24. Melalui webinar ini, banyak perkara mengenai banjir telah dibangkitkan dan memerlukan perhatian serius. 

25. Pertama, NAHRIM mencadangkan negara perlu mewujudkan dasar air secara terintegrasi, meliputi isu bekalan, simpanan, penggunaan, termasuk fenomena banjir atau kemarau.

26. Ini hanya dapat dilakukan jika kita mengambil pendekatan baharu seperti pengurusan air bersepadu atau pengurusan lembangan bersepadu. 

27. Setiap lembangan sungai mempunyai pasukan pengurusan yang mewakili kepentingan pelbagai pihak, melihat isu pembangunan secara terintegrasi melibatkan hubungan antara guna tanah, pemuliharaan alam sekitar dan sumber air.

28. Isu meningkatkan keupayaan takungan air buatan, sama ada di atas atau bawah permukaan sesuai diamalkan. Ini tidak sahaja dapat menyediakan bekalan air yang cukup, tetapi dapat membantu mengawal fenomena banjir.

29. Kedua, JPS telah membuat banyak kajian dan tindakan untuk menghindar atau mengurangkan risiko banjir. Satu daripada maklumat penting yang dihasilkan oleh agensi ini ialah setiap kawasan yang pernah mengalami banjir, mereka telah menyediakan peta risiko banjir. 

30. Begitupun, berapa ramaikah masyarakat mengetahui dan mengunakan maklumat ini. Isu utama ialah maklumat penting tidak cukup hanya digunakan untuk perancangan dan kerja teknikal agensi berkaitan.

31. Maklumat begini perlu diterjemahkan untuk kegunaan masyarakat, dan setiap komuniti yang terlibat perlu memiliki maklumat begini dan menggunakan untuk aktiviti kemasyarakatan. 

32. Tindakan yang boleh diambil secara bersama oleh komuniti yang berhadapan dengan risiko bencana banjir lazimnya lebih berkesan dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

33. Ketiga, saya berpendapat isu banjir dan bencana alam yang lain di Malaysia dapat diatasi secara berkesan dengan menyerahkan tanggungjawab mengurangkan risiko bencana kepada individu, komuniti dan masyarakat. 

34. Kerajaan hanya bertindak sekiranya banjir menjadi bencana besar di luar kawalan. Malaysia pada hakikatnya adalah negara yang bertuah, berhadapan dengan bencana alam pada skala rendah. 

35. Sebahagian besar daripada impak banjir berpunca daripada tindakan tidak beretika manusia, dan kemusnahan harta berlaku akibat tidak mempunyai pengetahuan atau kesedaran yang mencukupi mengenai risiko bencana. 

36. Warga dan komuniti perlu didedahkan kepada pengetahuan mengenai bencana, mereka seharusnya bijak membuat pilihan apakah sanggup hidup bersama risiko banjir, sementara kelompok yang rakus dan memusnah alam sehingga mengakibatkan bencana banjir perlu dikenakan tindakan berat.

37. Ungkapan, ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’ adalah tepat untuk masyarakat Malaysia kerana tindakan mengambil risiko banjir adalah kemahuan sendiri. 

38. Kerajaan dan pemaju perumahan pula perlu memberikan maklumat yang lengkap kepada warga untuk membuat pilihan yang bijak.

IBK@28 Feb 2021

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s