2. Siapa pensyarah universiti awam? Istilah lebih tepat ialah ahli akademik dan bukannya pensyarah universiti. Ramai yang membandingkan peranan dan kerjaya guru sekolah dengan pensyarah universiti.
3. Jika guru hanya perlu menyampaikan pengetahuan kepada pelajar sekolah ilmu yang telah diketahui dan dibukukan. Ahli akademik perlu menguasai ilmu terfokus, mengembangkan ilmu baharu dan menyampaikan kepada siswazah (pelajar umiversiti).
4. Peranan guru sekolah, sama seperti penjawat awam lain ialah dengan kemahiran/ pengetahuan yang ada, mereka perlu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat awam.
5. Guru cemerlang penting sebagai asas kukuh untuk menyediakan modal insan negara. Ini adalah proses pendidikan awal untuk mengukuhkan kemahiran membaca, menulis, berfikir aras tinggi dan membentuk akhlak yang mulia.
6. Peranan ahli akademik jauh berbeza berbanding guru sekolah. Ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan dalam bidang ilmu terfokus (peranan asas), meneroka bidang ilmu terkini, dan mengembangkan sampul ilmu sehingga berjaya mewujudkan ilmu baharu.
7. Ilmu baharu ini ditulis dalam jurnal ilmiah, dikongsi bersama rakan kesepakaran bagi membina korpus ilmu untuk kepentingan sejagat (universal). Dalam konteks ini ahli akademik ialah pakar atau malim (sarjana) dalam disiplin ilmu yang diceburinya.
8. Perana utama ahli akademik ialah untuk memberi ‘syarahan’ kepada pelajar siswazah dan pasca-siswazah, iaitu bahagian terpenting dalam satu Program Pengajian yang menghasilkan pemimpin negara dalam pelbagai bidang kemahiran tinggi, sama ada bersifat ilmuan (sains) atau ikhtisas (tenaga kerja mahir).
9. Lazimnya, seseorang ahli akademik bertanggung jawab untuk memberikan syarahan dalam bidang kepakaran masing-masing untuk melengkapkan satu sistem pendidikan tinggi yang diperlukan oleh negara..
10. Syarahan yang disampaikan bukan sekadar memberikan ilmu dan kefahaman dalam suatu bidang ilmu, tetapi menyampaikan pemikiran baharu secara kritis untuk membolehkan siswazah berfikiran terbuka semasa menguasai ilmu.
11. Umumnya, ahli akademik perlu menghairah (inspired) dan mempengaruhi (influenced) pemikiran kritis siswazah. Ini yang membezakan ketokohan dan kepimpinan (kewibawaan) antara seorang ahli akademik dengan ahli akademik yang lain!
12. Oleh kerana, ahli akademik berkecimpung dengan penerokaan ilmu baharu, inovasi adalah urusan hariannya. Untuk penjawat awam pemimpin negara menggalakkan mereka berinovasi, tetapi bagi ahli akademik urusannya adalah berkreatif dan berinovasi.
13. Walaupun sebahagian daripada ilmunya dikongsi dengan rakan kesepakaran dan pelajar siswazah, mereka juga bertanggungjawab berkongsi kepakaran dengan penjawat awam, sektor swasta dan masyarakat awam.
14. Usaha ini sering disebut ‘khidmat masyarakat’, atau lebih tepatnya ‘khidmat akademik’. Penyampaian idea, pemikiran, cadangan, pendekatan dan produk baharu berasaskan kepakaran (kesarjanaan) masing-masing.
15. Tugas ahli akademik sangat berat, selain berhadapan dengan etika atau nilai teras akademik, mereka perlu mengabdikan diri untuk penyelidikan, pengajaran (syarahan dan penyeliaan) dan khidmat akademik.
16. Bukan mudah ahli akademik menyumbang dengan cemerlang dalam semua aspek tugasan ini, tetapi sekurang-kurangnya perlu menyerlah dalam penyelidikan, dan cemerlang dalam sama ada pengajaran atau khidmat akademik.
17. Ganjaran dan pengikhtirafan perlu bersandarkan kepada sumbangan keseluruhan atau diterjemahkan sebagai kewibawaan akademik.
18. Saya tertarik mengulas isu ini kerana ada dua perspektif untuk menjelaskan dan mencari penyelesaian terbaik. Jika, kerajaan beranggapan ‘pensyarah universiti adalah sebahagian daripada penjawat awam, dan mirip guru sekolah, kenyataan Prof Dato Mohd Idrus Mohd Masirin, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia adalah tepat dan perlu diberikan perhatian.
19. Tugasan pensyarah universiti perlu dinilai semula, dan penilaian prestasi tahunan boleh dijadikan panduan kenaikan pangkat dan ganjaran.
20. Sekiranya negara berhasrat untuk menjadi negara maju, sejajar dengan kebanyakan universiti terkemuka di dunia, skim pensyarah universiti perlu diteliti dan jika perlu dipertimbangkan menjadi skim baharu yang dipandu oleh suruhjaya bebas Perkhidmatan Ahli Akademik Malaysia, bukannya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
21. Penilaian kenaikan pangkat daripada pensyarah hingga ke profesor ulung, perlu disandarkan kepada prestasi akademik – sumbangan cemerlang dan kewibawaan akademik – dinilai oleh kumpulan kesepakaran yang berwibawa.
22. Inilah masanya, kerajaan mengorak langkah memperkemaskan skim perjawatan ahli akademik awam untuk memperkasa kecemerlangan akademik dan membina imej universiti awam yang positif dan dihormati.
IBK 6 Mac 2017