
1. Masyarakat perlu menghargai usaha ikhlas kerajaan Malaysia Baharu mengembalikan maruah negara melalui pembentangkan usul reformasi melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-Sebelas di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2018.
2. Buat pertama kali dalam rancangan pembangunan negara, isu Alam Sekitar dinyatakan dengan jelas dan menyeluruh dalam Tunggak Lima iaitu Kelestarian Alam Sekitar melalui Pertumbuhan Hijau. Sebelum ini, aspek alam sekitar hanya dikaitkan dengan isu pencemaran dan kepentingan pembangunan ekonomi sahaja.
3. Dalam tunggak ini, tiga keutamaan kelestarian alam sekitar dicadangkan melalui enam cadangan tindakan positif.
4. Melalui keutamaan Tadbir Urus, usaha memperkukuh bagi memudah cara peralihan ke arah pertumbuhan hijau (mesra alam) dan pengurusan sumber asli secara lestari akan diberikan perhatian.
5. Dalam konteks ini, memperbaiki rangka kerja institusi, meningkatkan keupayaan pemantauan dan usaha penguatkuasaan akan ditambah baik.
6. Kita sedia maklum, negara sememangnya telah mempunyai pelbagai dasar, akta dan peraturan yang baik, tetapi kelemahan sehingga kini terletak pada penguatkuasaan dan pemantauan perlaksanaan.
7. Keutamaan kedua berkaitan dengan usaha memulihara sumber asli. Maksud sumber asli ialah Khazanah Strategik Negara meliputi kawasan daratan, air, pesisir pantai dan marin penting dan bernilai warisan tabii tinggi.
8. Bergantung kepada kepentingan dan nilai khazanah, ia perlu dipelihara, pulihara atau dipulihkan semula. Pada masa ini sebahagian besar daripada khazanah yang dimaksudkan ini diurus di bawah naungan Hutan Simpan Kekal, Taman Negara dan Taman Negeri.
9. Keutamaan ketiga ialah menangani Perubahan Iklim dan Risiko Bencana. Perubahan iklim iaitu pemanasan Bumi oleh gas rumah hijau telah mewujudkan impak negatif secara global. Ia meliputi peningkatan suhu, peningkatan paras laut dan menyebabkan keadaan iklim semakin ekstrem.
10. Oleh itu, langkah mitigasi akan dipergiat dan adaptasi akan terus dilaksanakan. Untuk mengurangkan impak perubahan iklim, konsep penggunaan dan pengeluaran lestari akan digalak melalui inisiatif perolehan hijau, dan inisiatif merubah sisa kepada kekayaan atau sumber tenaga.
11. Pada masa yang sama kebergantungan kepada sumber bahan api fosil akan dikurangkan dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dipertingkatkan.
12. Malaysia bernasib baik kerana tidak berhadapan dengan risiko bencana alam berskala besar, seperti gempa bumi, tsunami dan letusan volkano.
13. Begitupun, kita masih berhadapan dengan bencana banjir, tanah runtuh, hakisan pantai dan angin kencang. Dalam keutamaan ketiga juga, keupayaan mengurus risiko bencana akan ditingkat melalui langkah berintegrasi dalam perancangan dan pembangunan.
14. Aspek yang akan diberikan perhatian juga merangkumi komponen kesiapsiagaan menghadapi bencana dan keupayaan bertindak institusi bertanggungjawab dan komuniti terbabit.
15. Usaha mengawal pencemaran, memulihara sember asli dan menjaga alam sekitar telah lama dilaksanakan tetapi mencapai kejayaan secara terhad.
16. Terdapat beberapa sebab utama mengapa Malaysia sukar melaksanakan hasrat murni ini. Antaranya ialah isu pewujudan akta yang bersifat sektoral, konflik pengurusan guna tanah antara kerajaan Persekutuan dan Negeri, dan strategi perlaksanaan yang lemah.
17. Dalam melaksanakan Tunggak Lima ini, kami mencadangkan kerajaan Malaysia Baharu dapat meneliti perkara dinyatakan di atas dan memperkenalkan tadbir urus lebih berkesan.
18. Pertama, semua isu kelestarian Alam Sekitar memerlukan pendekatan multi-sektor dan penyelesaian multi-agensi. Sebaliknya kebanyakan akta bersifat perlaksanaan sektoral.
19. Akibatnya, tanpa kepimpinan berwibawa dengan iltizam tinggi, semua rancangan ke arah kelestarian alam sekitar berhadapan dengan pelbagai halangan.
20. Kami syorkan pelbagai akta sedia ada diteliti semula dan sebuah ‘akta payung’ yang memberi kuasa perlaksanaan secara pengurusan bersama diwujudkan. Umpamanya Akta Kelestarian Alam Sekitar diwujudkan dengan mengambil kira hasrat semua akta sedia ada keperluan mutakhir, serta mencadangkan satu perlaksanaan terintegrasi.
21. Kedua, konflik pengurusan guna tanah antara Persekutuan dan Negeri, khususnya berkaitan pemuliharan warisan alam perlu mencari penyelesaian menang-menang. Kebanyakan akta berkaitan Taman Negara dan warisan tidak berjaya dilaksanakan kerana urusan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.
22. Untuk melaksanakan keperluan pemuliharaan ini, akhirnya beberapa kerajaan negeri telah mewujudkan enakmen tersendiri. Sabah adalah contoh negeri terbaik dengan mewujudkan sistem Taman-taman Sabah dan mekanisme pemuliharaan melalui Yayasan Sabah.
23. Sudah sampai masanya urusan memulihara warisan alam diserahkan kepada kerajaan negeri, dan kerajaan Persekutuan hanya memantau dengan mengurus ‘Daftar Warisan Kebangsaan’ sambil memberikan sokongan teknikal dan kewangan yang mencukupi kepada kerajaan negeri.
24. Ketiga, jika kita serius untuk melaksanakan dasar Kelestarian Alam Sekitar, beberapa program perlaksanaan merentas sektor dan agensi perlu diwujudkan secara jangka panjang.
25. Contoh beberapa program penting yang seharusnya mendapat sokongan padu kerajaan ialah Pengurusan Terintegrasi Lembangan Sungai; Daftar Warisan Negara; Pengurusan Sisa Terintegrasi; Tenaga Boleh Diperbaharui; Pengurangan Risiko Bencana; dan Geopark.
26. Semua program ini melibatkan beberapa kementerian, kerajaan negeri, agensi awam, swasta dan komuniti serta pihak berkepentingan. Ia perlu ada dalam Akta Payung Kelestarian Alam Sekitar dan mekanismenya dinyatakan dengan jelas.
27. Tiba masanya lompang tanggungjawab dan kepercayaan antara kerajaan Persekutuan dan Negeri dikecilkan, dasar lebih bersepadu diperkenalkan dan program rentas kementerian dan sektor diperkenalkan untuk menjayakan wawasan baharu kelestarian alam sekitar negara.
IBK: 23 Oktober 2018