
1. Selepas Pilihan Raya Umum Ke14, Malaysia melalui pelbagai ketidaktentuan dan perubahan di luar batas kebiasaan. Siapa yang menduga seorang negarawan berusia 93 tahun diangkat semula menjadi Perdana Menteri tertua di dunia.
2. Di peringkat kepimpinan persekutuan dan negeri pula, ramai golongan muda berusia belum pun mencecah 30 tahun, diangkat menjadi menteri, timbalan menteri dan exco kerajaan negeri.
3. Perubahan adalah satu fenomena biasa, perubahan drastik kadang kala menbawa harapan dan kemajuan baharu, tetapi boleh juga mengundang bencana di luar batasan.
4. Sebagai seorang warga yang mengamalkan budaya Melayu, beragama Islam dan mengabdi diri untuk membangun negara tercinta Malaysia, saya terpanggil untuk mengupas satu fenomena baharu yang amat berbahaya melanda bangsa Melayu. Bangsa ini seakan telah kehilangan punca, bercakaran merebut kuasa dan menjatuhkan antara satu sama lain.
5. Kita sedia maklum, Tanah Melayu adalah negara penduduk asalnya berbangsa Melayu, di Sabah dan Serawak pula di huni oleh penghuni bumiputra.
6. Apabila kita mencapai kemerdekaan dan bergabung menjadi Malaysia, perlembagaan telah menentukan falsafah dan urus tadbir negara serta warganya.
7. Secara semangatnya, warga ketika itu telah memutuskan beberapa ketetapan penting menjaga kepentingan bangsa Melayu dan bumiputra bagi membolehkan negara terus berkembang pesat, perpaduan terjamin dan kesejahteraan dikecapi.
8. Bangsa Melayu, walaupan setelah 61 tahun dipimpin oleh kepemimpinan berteraskan Melayu, masih merasa tergugat, seakan terpinggir dan dipinggirkan di tanah akhir sendiri.
9. Isu utama ialah berkaitan kekuatan ekonomi yang masih terletak di tangan warga berbangsa bukan Melayu. Kerajaan ketika itu nampaknya masih berasa selasa untuk menjaga kepentingan Melayu atas alasan kekuatan politik masih ditangan mereka.
10. Himpunan 812 iaitu perhimpunan bangsa Melayu terbesar menyatakan pendirian tegas tidak menerima rektifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
11. Â Walaupun telah dimaklum, kerajan telah mengisytihar tidak akan melakukannya, perhimpunan masih diteruskan. Ini adalah tanda jelas fenomena baharu mengenai keinginan sebuah bangsa majoriti yang mulai tertekan dan bangkit untuk berjuang mengungguli sebuah negara berbilang kaum.
12. Sejarah dan pengalaman menunjukkan, ada bangsa unggul dibenci oleh warga dunia kerana ketaksuban menjaga kepentingan bangsanya sehingga sanggup menindas bangsa lain.
13. Pada masa sama, wujud banyak bangsa hebat yang sememangnya unggul dan bertamadun tinggi, tetapi masih dihormati dan dikagumi ramai. Mangapa?
14. Bagi bangsa Melayu, anda bebas memilih apa sahaja parti politik, sama ada UMNO, PAS, BERSATU, AMANAH atau PKR jika percaya kepada kepemimpinan dan wawasannya.
15. Begitupun, keperluan berparti dan kepentingan memulihara budaya, tradisi dan jatidiri bangsa Melayu adalah dua perkara berbeza.
16. Semua yang mengaku berbangsa Melayu perlu mempunyai ikatan persaudaraan dan nilai sepunya yang jelas.
17. Perhatian diberikan kepada membina budaya dan tradisi sebuah bangsa terhormat, berkekuatan ilmu dan ekonomi, berakhlak mulia dan berpegang kepada budaya bangsa. Menghormati antara satu sama lain, dan tidak mengaibkan saudaranya di khalayak ramai.
18. Bangsa Melayu secara bersendirian atau berkeluarga berupaya mengubah sikap dan pandangan dunia mengenai kehidupan. Keperluan seimbang untuk kehidupan di dunia dan bekalan akhirat memerlukan individu Melayu menguasai ilmu, kemahiran baharu, berstrategi dan inovasi untuk kesejahteraan dan pembangunan ekonomi.
19. Pada masa yang sama mengekalkan pegangan agama dan jatidiri bangsa. Sikap negatif yang masih diamal perlu dikikis, dan binalah sikap positif terhadap dunia sekitar kita.
20. Dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu membila lebih banyak persatuan dan pertubuhan yang melampaui kepentingan berpolitik.
21. Pertubuhan sukan, kesenian, warisan dan kebajikan adalah antara yang boleh dipelopori. Pertubuhan sosial di peringkat komuniti, daerah dan negeri akan menggalakkan kita mengembang dan mengamalkan budaya dan tradisi kebangsaan sambil membina nilai bersama.
22. Kepemimpinan negeri dan negara boleh menjadi komponen penting dalam membina Malaysia Baharu dan Melayu Baharu. Bangsa Melayu dan Bumiputra adalah majoriti warga negara dan penduduk utama di kebanyakan negeri.
23. Berteraskan kontrak sosial dan perlembagaan, adalah menjadi tanggungjawab mereka memperkasa bangsa dan budaya Melayu tanpa meminggirkan warga berbangsa lain.
24. Malaysia yang majoriti berbangsa Melayu dan dihuni oleh warga pelbagai kaum boleh menunjukkan tauladan bagaimana membangun bangsa Melayu terhormat sambil membina kesejahteraan seluruh warganya.
IBK 31 Dis 2018