Meraikan Governans Pembangunan Lestari

1. Tahniah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mewujudkan Kabinet mantap dan berwibawa, tentu atas pengalaman dan pandangan jauh.

2. Kabinet ini tidak sahaja memenuhi keperluan penting iaitu berkhidmat untuk rakyat dan membina jaringan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN), bahkan memberikan perhatian kepada wawasan abad ke-21, pembangunan lestari.

3. Perlantikan Menteri Kanan yang bakal menjadi penyelaras kepada empat sektor pembangunan negara adalah satu inovasi governans yang hebat. Masing-masing akan melihat dan mengintegrasi saling hubungan pelbagai sektor dalam komponen pembangunan lestari.

4. Ini tentunya membabitkan pembangunan ekonomi, pembangunan prasarana, pembangunan sosial dan keselamatan negara.

5. Walaupun, pembangunan alam sekitar tidak dinyatakan secara jelas, pewujudan Kementerian Alam Sekitar secara khusus sebenarnya menggambarkan keprihatinan tinggi mengenai isu pencemaran, warisan tabii dan perkhidmatan ekologi.

6. Saya amat tertarik dengan konsep empat Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal penting berkaitan kelestarian.

7. Dalam sektor pembangunan ekonomi umpamanya, isu pengurusan kewangan dan pertumbuhan ekonomi mempunyai hubungan rapat dengan perdagangan antarabangsa, pembangunan industri, perusahaan perladangan, pelancongan, pembangunan keusahawanan dan koperasi.

8. Pembangunan prasarana pula membabitkan perkhidmatan kerja raya, pembangunan luar bandar dan wilayah persekutuan, sistem pengangkutan awam, perumahan, pembangunan sumber tenaga dan sumber asli serta aspek pertanian dan alam sekitar.

9. Saya yakin rakyat berharap kemudahan dan kualiti perkhidmatan awam diberikan perhatian tinggi.

10. Pendekatan dasar dan budaya pembangunan prasarana di negara maju untuk kepentingan masyarakat awam seperti sekolah, hospital, tempat dan kemudahan awam, kaki lima dan tempat pejalan kaki.

11. Semua prasarana ini dibina seperti untuk digunakan selama 1000 tahun. Set minda begini masih belum jelas di negara kita, tumpuan hanya diberikan kepada bangunan persendirian, tetapi tidak bagi prasarana awam.

12. Dalam pembangun sosial, tumpuan diberikan kepada kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pembangunan sumber manusia, pembangunan belia dan sukan serta kebajikan golongan wanita dan keluarga.

13. Dalam konteks ini, isu berkaitan perpaduan kaum, keadilan sosial serta jati diri bangsa Malaysia perlu juga diberikan perhatian.

14. Komponen keselamatan awam lazimnya kurang diberikan perhatian dalam pemikiran kelestarian kerana beranggapan urusan keselamatan kurang membantutkan agenda pembangunan lestari.

15. Pewujudan Menteri Kanan keselamatan negara ternyata amat penting bagi memastikan masyarakat berasa selesa, aman dan yakin dengan keselamatan diri, keluarga dan hartanya.

16. Dalam konteks pembangunan negara, isu keselamatan awam perlu dijadikan komponen penting bagi memastikan kesejahteraan sosial.

17. Jika semua komponen pembangunan lestari, iaitu ekonomi, prasarana awam, kesejahteraan dan keselamatan sosial yang membabitkan pelbagai kementerian dapat diselaraskan beberapa Menteri Kanan secara berkala, pembangunan negara pastinya berada pada landasan tepat.

18. Sudah tentu secara khusus, saya tertarik dengan pewujudan Kementerian Alam Sekitar. Saya yakin kementerian ini tidak sahaja memberikan tumpuan kepada isu pencemaran alam sekitar, bahkan memfokuskan agenda pemuliharaan warisan tabii dan komponen perkhidmatan ekosistem.

19. Isu udara bersih, bekalan air bersih, kawasan riadah, pengurangan risiko bencana dan mitigasi impak perubahan iklim amat berkaitan dengan perkhidmatan ekosistem, justeru ia perlu diberikan perhatian tinggi.

20. Dalam governans pembangunan lestari berasaskan pendekatan pengurusan bersama, maklumat bermaklum perlu disediakan oleh kumpulan pakar dan para sarjana, sementara maklum balas pihak berkepentingan diperlukan untuk memastikan penerimaan.

21. Saya berharap, mesyuarat penyelarasan tidak sahaja ditumpukan kepada beberapa kementerian, tetapi wakil dari ilmuwan dan pemimpin masyarakat dijemput bersama.

22. Nampaknya barisan ahli Kabinet sudah mantap, kini tiba masanya mereka untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat.

23. Bagi rakyat pula, berehatlah sebentar daripada membuat desakan berunsur politik.

24. Berilah kesempatan kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya untuk membuktikan keupayaan mereka hingga akhir penggal sebelum menjelang Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) nanti.

IBK: 15 Mac 2020

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s