Penilaian Semula Langkawi UNESCO Global Geopark

Penilai di pinggir Restoran Pak Malau berlatarbelakang Geotapak Gegelang Mahsuri

1. Kini Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark telah menjangkau usia 12 tahun, telah melalui tiga kali penilaian semula, dan mulai difahami oleh seluruh keluarga kepulauan ini.

2. Walaupun, takrifan geopark masih tidak difahami sepenuhnya, mereka sedar geopark ialah wawasan menghargai nilai warisan, peluang untuk meningkatkan pendapatan, menggalakkan jaringan dan perpaduan komuniti, dan membangun wilayah secara lestari.

3. Penilaian semula kali ketiga berlangsung pada 7 – 11 Oktober 2019. Kali ini giliran dua orang pakar dari Ireland dan Iceland Utara iaitu Dr Kirstin Lemon dan Mr Sigurdur Sigursveinsson. Mereka adalah juga pengurus geopark di negara masing-masing.

4. Hanya mereka yang terbukti mampu mengurus geopark dengan baik dijemput untuk menjadi penilai geopark lain.

5. Penilaian semula bukan semata-mata untuk mencari kelemahan dan melayangkan ‘kad kuning’ kepada geopark yang dinilai, sebaliknya ia mempunyai hasrat murni untuk berkongsi pengalaman dan memberi nasihat atau cadangan bagaimana untuk memperbaiki kelemahan.

6. Di Langkawi, para penilai disambut oleh Dr Hezri Adnan, CEO LADA merangkap Pengarah, Langkawi Geopark dan pasukan dari Bahagian Geopark LADA diketuai oleh Azmir Munir bersama para penyelidik Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL), UKM.

7. Sejak diwujudkan Langkawi Geopark telah diurus oleh Jawatankuasa Pelaksana mewakili pelbagai pihak berkepentingan dan diselaraskan oleh Bahagian Geopark LADA.

8. Langkawi bernasib baik kerana LADA telah memberikan perhatian penting bagi menjayakan agenda geopark ini.

9. Geopark adalah satu-satunya program UNESCO yang memberikan perhatian agenda penambahbaikan melalui proses penilaian semula setiap empat tahun sekali.

10. Langkawi telah melalui proses yang sama pada tahun 2011 dan 2015, dan berjaya mendapat kad hijau.

11. Kriteria yang diberikan perhatian semasa penilaian ialah kemajuan dalam urusan membangun citra, pemuliharaan warisan, penglibatan komuniti setempat, pendidikan awam, jaringan sesama geopark, dan tindakan pembangunan lestari.

12. Semasa di Langkawi, mereka dibawa melawat ke beberapa tempat atau tapak penting bagi menjelaskan usaha kami dalam pembangunan geopark.

13. Empat geotapak penting yang dilawati ialah Puncak Gunung Machinchang, Puncak Gunung Raya, Kubang Badak dan Tanjung Mali. Di Machinchang mereka ditunjukkan pusat dan papan maklumat untuk pendidikan awam.

14. Pada masa yang sama mereka dapat melihat bagaimana usaha pemuliharaan dan pembangunan geopelancong dapat dilaksanakan seiringan.

15. Penilai dibawa ke Puncak Gunung Raya, sebuah tapak rekreasi terbiar yang perlu dibangunkan semula. Gunung Raya ialah puncak tertinggi di Langkawi dan sesuai dibangunkan sebagai Stesen Tanah Tinggi.

16. Ia bakal dijadikan Taman Georimba keempat selepas Machinchang, Kilim dan Dayang Bunting. Pembangunan kawasan ini tidak sahaja penting untuk memulihara kepelbagaian biologi Hutan Granit, tetapi mempunyai potensi besar menjadi kawasan pelancongan rekreasi utama di Langkawi.

17. Kubang Badak mempunyai gabungan geotapak, biotapak dan tapak budaya yang sesuai dibangunkan untuk produk geopelancongan baharu.

18. Sejak dua tahun terakhir, kami telah menjalankan penyelidikan dan membangun BiogeoTrail Kubang Badak yang boleh dijadikan sumber pendapatan baharu kepada komuniti di kawasan tersebut.

19. Tapak Tanjung Mali pula ialah bukti bagaimana inisiatif geopark berjaya memelihara sebuah geotapak bernilai warisan tinggi daripada musnah akibat pembangunan.

20. Penilai dibawa untuk berjumpa rakan kongsi istimewa, khususnya kelompok yang telah berjaya membantu melaksanakan agenda geopark.

21. Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan Temoyong, Kuari Kilang Simen YTL, Komuniti Nelayan Kilim dan Restoran Pak Palau.

22. Di Sekolah Kebangsaan Temoyoug, mereka didedahkan dengan pelbagai program sekolah rendah membudayakan amalan kelestarian melalui aktiviti geopark.

23. Di Kuari Kilang Simen, penilai didedahkan dengan amalan pengkuarian lestari, serta kerjasama geopark dan agensi swasta untuk memulihara Gua Pinang, iaitu sebuah biotapak penting di Langkawi.

24. Pertemuan penilai dengan komuniti nelayan Kilim, iaitu kelompok paling awal mendapat faedah daripada agenda geopark membolehkan mereka menilai sendiri keterlibatan komuniti dalam membangun produk geopelancongan.

25. Di tempat yang sama, penilai diberikan penghormatan untuk merasmi Galeri Langkawi Geopark baharu yang bakal menjadi tumpuan utama pelancong mempelajari wawasan geopark, pemuliharaan warisan dan amalan kelestarian.

26. Pak Malau ialah seorang Duta Geopark, dan restorannya pula ialah rakan kongsi istimewa berkaitan geomakanan. Di sini, penilai telah diraikan dengan makanan tradisi Melayu, iaitu komuniti asal utama kepulauan Langkawi.

27. Penilaian semula ialah peristiwa penting bagi setiap 147 UNESCO Global Geopark di seluruh dunia.

28. Bagi pihak geopark, inilah masanya kita menyemak kembali tindakan dan cabaran bagi menjayakan aktiviti geopark, mengeratkan hubungan kekeluargaan warga geopark (geoparkian), dan merancang apa lagi yang perlu dilaksanakan untuk empat tahun akan datang.

29. Bagi Jaringan Geopark Glabal (GGN), usaha sokongan berterusan perlu dilakukan untuk setiap ahli bagi memastikan amalan pembangunan lestari diraikan.

IBK 24 Ogos 2019

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s